Persiapan sekolah hanya ala kadar - Utusan Malaysia

Persiapan sekolah hanya ala kadar

UMI Khalsom Murad menunjukkan pakaian sekolah lama yang akan dipakai Amirul Danish (kanan), pada sesi persekolahan Isnin ini di rumahnya di Pangsapuri Andorra, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penduduk Taman Sri Muda di sini, hanya mampu membuat persiapan persekolahan sekadar ‘apa yang ada’ ekoran masih dibebani kesan banjir terburuk bulan lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pelajar terpaksa menggunakan semula pakaian sekolah lama yang masih boleh dipakai biarpun ditenggelami air sebelum.
Ini kerana faktor kos serta ke­suntukan masa untuk mengganti pakaian dan kelengkapan persekolahan yang rosak akibat banjir.

Suri rumah, Ulmi Khalsom Murad, 57, berkata hampir ke­seluruhan harta benda miliknya musnah selepas rumahnya di tingkat bawah Pangsapuri Andorra dinaiki air lebih dua meter pada 18 Disember lalu.

Kata ibu kepada lima anak itu, keluarganya kini hanya mampu mengguna pakai barangan yang ada termasuk pakaian sekolah anak bongsunya, Amirul Danish Kharul Aman, 17.

“Kami sememangnya tidak mampu berbuat apa-apa dan menyedari sesi persekolahan Amirul yang belajar di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda dibuka pada Isnin ini.

“Saya terpaksa meminta dia membasuh pakaian sekolah lamanya yang sudah ditenggelami air untuk dipakai semula nanti,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Pada 24 Disember lalu, Kementerian Pendidikan memaklumkan pembukaan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 ditangguhkan seminggu susulan banjir di beberapa negeri.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tarikh baharu pembukaan sekolah bagi negeri-negeri kumpulan A ditetapkan esok manakala kumpulan B pula pada Isnin ini.

Sementara itu, penduduk, Zakaria Bachok, 53, berkata dia ketika ini lebih menumpukan kepada membaiki kerosakan rumah dan kelangsungan hidup keluarganya.

“Banjir kali ini paling teruk dialami dalam tempoh 18 tahun hingga menyebabkan saya terlupa mengenai sesi persekolahan yang bakal dibuka.

“Semua barangan saya musnah sekali gus termasuk kelengkapan sekolah anak (Arif Alauddin, 11) yang sudah dibeli sebelum ini,” kata bapa kepada lima anak itu.

Bagi kakitangan swasta, Malek Sufian, 55, dia hanya membuat persiapan biasa dengan membeli hanya sehelai baju dan seluar sekolah untuk dua anak lelakinya.

“Biarpun diuji dengan musibah, pendidikan sememangnya tetap penting untuk masa depan anak-anak. Namun, kelengkapan persekolahan mereka kali ini terpaksa dihadkan ke­rana menanggung kerugian tinggi akibat banjir,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya