Permohonan pengambilan pekerja asing dibuka mulai 28 Januari - Utusan Malaysia

Permohonan pengambilan pekerja asing dibuka mulai 28 Januari

Sektor perladangan antara sektor yang menggunakan ramai pekerja asing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia membuka proses permohonan bagi pengambilan pekerja asing mulai 28 Januari ini.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, buat permulaan, ia membabitkan pengambilan kira-kira 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas.

Beliau berkata, permohonan bagi sektor-sektor lain yang dibenarkan tanpa pengecualian khas akan mula dibuka pada 15 Februari depan.

“Permohonan boleh dibuat majikan di laman web www.fwcms.com.my,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, beliau juga ingin mengingatkan semua majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing yang ditetapkan kerajaan.

Saravanan berkata, SOP ini merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin.

Menurutnya, semua pekerja asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung majikan.

“Ketika ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang.

“Setakat ini, kapasiti yang boleh ditampung pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin adalah sebanyak 10,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Justeru, katanya, kementerian mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin.

Jelasnya, pusat kuarantin itu perlulah mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. 

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lalu telah bersetuju untuk pengambilan pekerja warga asing dalam sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya