PUTRAJAYA: Urusan permohonan Pas Khas oleh warga asing pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang terkandas atau tinggal lebih masa mulai 1 Februari 2020, dilanjutkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagi pemegang PLS, tempoh permohonan Pas Khas dilanjutkan sehingga 31 Januari ini.
Beliau berkata, bagi pemegang PLS Jangka Panjang pula, tempoh permohonan Pas Khas itu disambung sehingga 30 Jun ini.
“Urusan permohonan Pas Khas dan pembaharuan PLS Jangka Panjang boleh dilaksanakan di Kaunter Bahagian Visa, Pas dan Permit di semua cawangan pejabat Imigresen negeri.
“Selain itu, urusan pembaharuan PLS Jangka Panjang Pasangan kepada warganegara boleh dilakukan secara dalam talian melalui sistem ePLSI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maklumat lanjut berhubung perkara ini boleh didapati dengan melayari laman web JIM di pautan www.imi.gov.my. – UTUSAN ONLINE