PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan desentralisasi pendidikan bagi memastikan negara lebih bersedia untuk menghadapi krisis pada masa hadapan.
Dr. Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pandemik Covid-19 mengajar semua pihak tentang bagaimana sistem pendidikan negara sekiranya tidak memulakan desentralisasi pendidikan.
Katanya, ini kerana sudah banyak perdebatan atau pertikaian keputusan yang dilakukan di peringkat pusat itu tidak sesuai dengan keadaan dan keperluan sesebuah kawasan itu.
“Misalnya apabila berlaku banjir di beberapa negeri, tetapi sekolah tetap ditutup di negeri lain yang tidak terbabit dengan banjir.
“Jadi kita sudah melihat bagaimana keadaan apabila kita membenarkan keputusan besar seperti ini hanya dilakukan di peringkat pusat, kita akan dapat melihat bahawa anak-anak kita juga terkesan di kawasan tidak terjejas bencana krisis.
“Ini satu perkara yang harus kita lihat pada masa depan kerana kita tahu isu pandemik tidak selesai dengan cepat dan perubahan iklim terus berlaku.
“Kita tahu keadaan di luar bandar mempunyai keperluan dan keadaan sangat berbeza antara kawasan lain yang memerlukan persiapan. persediaan, perancangan dan pelaksanaan pendidikan yang berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain
“Jadi ini semua memerlukan keupayaan dan kewibawaan kepimpinan pendidikan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan negeri, bukan hanya di peringkat persekutuan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.
Menurut Dr. Ahmad, krisis pandemik juga mengajar bahawa persiapan, persediaan dan reformasi amat diperlukan.
“Jika berlaku lagi perkara sebegini di masa depan, maka anak-anak kita akan menjadi mangsa kerana pendidikan mereka terancam dan tergugat,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara baharu harus dilakukan dalam sistem pendidikan jika negara mahu bersedia melaksanakan pendidikan ketika krisis.
“Jika wujud lagi krisis yang mengancam masyarakat dan negara di masa depan, maka kita mempunyai sistem pendidikan yang boleh diharapkan serta kalis krisis bagi memastikan sistem pendidikan tetap berjalan.
“Kita harus mula melihat di luar kotak amalan lama sebelum pandemik supaya lebih bersedia pada masa depan dari membuat keputusan seperti sebelum ini yang membawa kerugian kepada pendidikan anak-anak,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE