Perlis punyai 25 dialek berbeza - Utusan Malaysia

Perlis punyai 25 dialek berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Meskipun Perlis negeri paling kecil dengan penduduk sekitar 200,000 orang namun siapa sangka negeri ini sebenarnya mempunyai lebih 25 dialek berbeza.

Difahamkan perbezaan dialek yang dipertuturkan penduduk itu adalah mengikut mukim atau kawasan-kawasan tertentu selain terdapat sedikit pengaruh Thailand dan Kedah. Sebagai rekod, terdapat antara 2,500 sehingga 2,600 perkataan dialek Perlis termasuk perkataan umum negeri-negeri utara.

Perlis yang berkeluasan 819 kilometer persegi iaitu lebih kecil dari daerah Padang Terap, Kedah mempunyai 22 mukim dan setiap mukim tersebut dikatakan mempunyai dialek yang cukup unik khususnya membabitkan percakapan penduduk di Abi, Panggas, Titi Tinggi, Kuala Perlis, Beseri dan Padang Besar.

Sebagai contoh, sebutan perkataan air di sebelah kawasan Padang Malau, Beseri disebut aya’k’ manakala penduduk di Padang Pauh menyebut ‘ayiak’. Jarak antara kedua kawasan itu tidak sampai 10 kilometer.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyusun kamus dialek Perlis, Wan Nan Wan Mahmud berkata, jumlah dan perbezaan dialek atau loghat Perlis itu direkodkan berdasarkan kajian beberapa tokoh dan peminat bahasa.

WAN NAN WAN MAHMUD menunjukkan dua edisi Kamus Dialek Perlis ketika ditemui di kediamannya di Padang Pauh, Kangar, Perlis baru-baru ini. -UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR

Katanya, faktor geografi negeri ini yang bersempadan dengan Thailand di sebelah utara dan Kedah di selatan juga menjadi antara faktor dialek yang dituturkan oleh penduduk.

“Sudah tentulah ada tempias daripada pengaruh bahasa yang dipertuturkan oleh penduduk di kawasan terbabit. Sebagai contoh, penduduk kawasan Titi Tinggi dan Padang Besar bercakap dengan dialek Thailand (Siam) manakala penduduk sekitar Kodiang dan Sanglang pertuturannya berbaur loghat Kedah.

“Sering juga menjadi persoalan kepada pengkaji bahasa bagaimana lahirnya pelbagai dialek itu dan hakikatnya jika mengikut sejarah kewujudannya ia sukar diselidiki dan belum ada pengkaji khusus yang boleh menjelaskan dengan tepat perkara ini,” katanya.

Tambah Wan Nan, kewujudan puluhan dialek ini bermula daripada pertuturan nenek moyang yang datang membuka tanah dan meneroka sesuatu daerah itu seterusnya diwarisi keturunan dan generasi ke generasi.

Katanya, berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya, setiap mukim di negeri ini mempunyai perbezaan bunyi atau kelajuan serta rima percakapan tersendiri.

Malah ujarnya, kadangkala, sesuatu perkataan itu hanya digunakan di kawasan tersebut dan tidak digunakan di kampung bersebelahan.

“Contohnya, sebutan perkataan air di sebelah kawasan Padang Malau, Beseri disebut ‘aya’k’ manakala penduduk di kawasan Padang Pauh ada yang menyebut ‘ayiak’. Lebih menarik di antara Kampung Padang Malau dan kawasan Padang Pauh itu terletak kawasan Paya dan penduduk di kawasan berkenaan menggunakan perkataan ‘behempidiak’ atau ‘behempiliak’ bermaksud comot, kotor atau tidak kemas.

“Perkataan tersebut biasanya hanya digunakan di kawasan berkenaan sahaja dan tidak digunakan dua kawasan bersebelahannya, jika ada pun, ia dibawa oleh penduduk Paya yang berhijrah ke kawasan lain,” katanya.

Menurut Wan Nan lagi, terdapat sedikit kelainan pertuturan penduduk di kawasan Kuala Perlis berbanding kawasan-kawasan lain di negeri ini.

Katanya, gaya dan dialek penduduk Kuala Perlis terkenal dengan pertuturan yang berirama (berlagu) manakala huruf ‘s’ di akhir perkataan diganti ‘th’ atau sebutan huruf jawi tha.

“Contohnya perkataan laksa disebut ‘laktha’ satu disebut ‘thatu’, sekolah disebut ‘thekolah’. Selain itu, sebutan perkataan nama hari turut mempunyai pelbagai gaya dan dialek mengikut sesuatu kawasan atau mukim. Contohnya hari Isnin disebut ‘Senayan’, ‘Henayan’ atau ‘Senen’,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk di Abi, Dimat Kamis, 73, berkata, loghat kawasan berkenaan lebih dalam dan meleret dari segi sebutan dan kadangkala ada yang tidak faham apa yang dituturkan mereka khususnya golongan muda di kawasan bandar seperti Arau dan Kangar.

“Sebagai contoh perkataan seperti ‘kapa’ (mereka), ‘gedung’ (hospital), ‘mentenaik’, ‘menyatuh’ (matahari naik, matahari terbenam), ‘mergheli’ (menjadi kebiasaan), ghembang (tengah hari) dan banyak lagi,” kata pesawah itu.

Seorang penduduk dari Arau, Azizi Bakar, 40, pula berkata, cara percakapan di kawasan seperti Arau atau Kangar dilihat lebih standard ke arah baku namun masih ‘berbunyi’ Perlis.

“Kalau kita lihat percakapan di kawasan seperti Abi Padang Melangit, Panggas, Beseri dan beberapa lagi mukim sangat unik dan sedap didengar. Kadang-kala ada perkataan yang kita sendiri tidak pernah dengar,” katanya.

Risau masa depan dialek Perlis?

KANGAR: Dialek atau loghat Perlis yang cukup unik tidak mustahil kian dilupakan atau pupus ditelan zaman ekoran perubahan gaya hidup masyarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, aktivis budaya, Rosli Osman, 70, berkata, dialek dan loghat adalah salah satu cabang bahasa dan bahasa itu sendiri bersifat dinamik iaitu berubah mengikut perubahan gaya hidup masyarakat.

ROSLI OSMAN

Katanya, perubahan dialek atau loghat sesuatu bahasa tersebut juga boleh disebabkan mutasi budaya masyarakat yang kadang-kala terikut-ikut budaya setempat.

“Sebagai contoh, jika seseorang dari Perlis berhijrah ke negeri lain, kemungkinan berlaku asimilasi bahasa itu tinggi. Mungkin individu tersebut akan terikut-ikut atau meniru bahasa kelompok masyarakat lain, maka akan timbul dialek yang baharu.

“Perkara sama juga mungkin berlaku di Perlis, sebagai contoh, apabila penduduk di kawasan Padang Besar berkahwin dan berhijrah ke Kuala Perlis dan cuba meniru percakapan masyarakat setempat, anak-anak mereka yang mendengar dialek berlainan mungkin akan menggunakan kombinasi kedua-dua loghat tersebut,” katanya.

Tambah Rosli, bahasa Melayu baku yang digunakan kini juga berbeza dari segi sebutan serta tulisan berbanding yang dituturkan masyarakat sekitar tahun 1960-an.

Katanya, situasi sama juga membabitkan loghat Perlis apabila gaya hidup masyarakat sudah semakin berubah termasuk sistem pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.

“Jika dilihat kepada kepada pertuturan hari ini, kemungkinan ramai anak muda kurang faham percakapan orang terdahulu. Malah faktor perkahwinan campur, komunikasi seperti di tempat kerja dengan bahasa baku dan tidak lagi menggunakan dialek setempat sekali gus bakal menyebabkan dialek tersebut kian pupus,” katanya.

Sementara itu, penyusun kamus dialek Perlis, Wan Nan Wan Mahmud berkata, dialek setempat mampu bertahan selagi mana masih ada golongan yang tinggal di kampung-kampung mengamalkan penggunaan loghat itu.

“Sebagai contoh, sekiranya penduduk suatu kampung itu masih mengusahakan sawah, kelompok itu akan terus bertutur dengan menggunakan dialek tempatan kerana ia akan memudahkan pemahaman mereka dan secara tidak langsung ia akan kekal digunakan dalam kumpulan tersebut,” katanya.

Golongan muda hidupkan loghat Perlis

Nama Mohd. Hafiz Md. Yatim atau lebih dikenali sebagai Aizat Hafiz, 31, cukup popular dalam kalangan pengikut di platform media sosial yang cukup tertarik dengan telatahnya menggunakan dialek Perlis dalam setiap kandungan di laman sosial Tik Tok atau saluran YouTube miliknya.

Ketika ini, dia mempunyai hampir 200,000 pengikut di laman sosial TikTok yang keba­nyakannya menyokong usaha­nya mempromosikan identiti dan dialek negeri ini.
Aizat Hafiz berkata, penggunaan dialek tempatan itu sebagai salah satu usaha mengekalkan dialek Perlis agar tidak dilupakan generasi baharu.

Katanya, dia mula menggunakan aplikasi TikTok sejak tahun 2018 namun hanya aktif pada Februari 2021 selepas menghabiskan masa di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Menurutnya, dia membesar di Mata Ayer dan sudah terbiasa dengan masyarakat sekeliling menuturkan loghat di kawasan berkenaan.

“Saya bertutur menggunakan loghat kawasan Mata Ayer, ia tidak begitu pekat se­perti loghat di kawasan Abi dan Kuala Perlis selain lebih mudah difahami kerana ia hampir kepada bahasa Perlis standard yang sering digunakan keba­nyakan penduduk negeri ini.

Sementara itu, Mohamad Fawzy Salleh, 30, yang aktif menyiarkan sketsa pendek sebagai kandungan Youtube dan Facebook MF Studio memberi­tahu, usaha tersebut sebagai salah satu cara menghidupkan kembali dialek Perlis terutamanya dari kawasan Abi.

Katanya, dialek kawasan Abi sendiri mempunyai perbezaan daripada segi percakapan, nada serta rima mengikut kampung di mukim itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya