KANGAR: Perlis berpotensi besar berkembang sebagai pusat ternakan lembu hibrid terutamanya pengeluaran kacukan baka import dengan tempatan menerusi teknologi permanian beradas yang mampu meningkatkan pendapatan penternak.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr. Adam Abdullah Kwan berkata, antara yang mendorong ke arah kejayaan penternakan lembu hibrid di negeri ini adalah menerusi program pengukuhan sumber genetik yang dilaksanakan unit pembiakbakaan JPV negeri disokong beberapa faktor penting.
Katanya, program penghasilan kacukan baka seperti Charolais, Limousine, Piedmontese, Simmental dengan induk lembu baka tempatan Brahman atau Kedah-Kelantan itu disokong oleh infrastruktur jalinan jalan raya yang baik bagi menghubungkan ladang dengan pusat pelaksanaan teknologi permanian beradas di lapangan berkenaan.
“Amalan tradisi ternakan lembu secara fidlot juga menyumbang potensi penghasilan lembu hibrid kerana memudahkan pengurusan induk lembu sebelum dan selepas suntikan permanian beradas.
“Selain itu, penghasilan induk-induk lembu hibrid ini juga dilihat semakin stabil dan dapat menyesuaikan dengan persekitaran cuaca di negeri Perlis setelah dilaksanakan sejak tahun 2015,” katanya ketika ditemui di Kampung Santan, Mata Ayer baru-baru ini.
Sebagai rekod, sejak 2015 hingga 2020, sebanyak 1,500 ekor lembu hibrid dihasilkan.
Tambah Adam Abdullah, pada tahun lalu, sebanyak 400 ekor lembu hibrid dihasilkan dan pihaknya menyasarkan 250 hingga 400 haiwan tersebut dapat dihasilkan pada tahun ini.
Selain itu, katanya, penghasilan daging lembu hibrid juga lebih banyak berbanding baka tempatan iaitu boleh mencapai sehingga 200 kilogram daging bagi seekor lembu pada umur satu hingga dua tahun.
Ujarnya, perkembangan tersebut sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.
“Penternakan lembu hibrid memberi pulangan yang tinggi dengan harga jualan mencecah antara RM5,000 hingga RM10,000 seekor dalam tempoh enam bulan berbanding baka tempatan yang memberi pulangan antara RM3,000 hingga RM5,000 dalam tempoh satu atau dua tahun.
“Pada masa ini, terdapat kira-kira 300 penternak yang mendapatkan perkhidmatan teknologi permanian beradas dan JPV menyasarkan 500 hingga 1,000 penternak menyertai program penternakan lembu hibrid di negeri ini.
“JPV negeri turut memberikan khidmat nasihat, bantuan teknologi permanian beradas, makanan tambahan serta beberapa kemudahan lain sekiranya penternak berdaftar dengan jabatan ini,” katanya.
Tambahnya, bagi meningkat kecekapan industri tersebut, JPV turut bercadang menghasilkan pusat penghasilan makanan dengan kerjasama beberapa pihak lain bagi mengurangkan penternakan di negeri ini.
Beliau turut menyarankan agar lebih ramai penternak menyertai Persatuan Penternak Haiwan Ruminan Perlis bagi memudahkan mendapat maklumat dan mengeratkan kerjasama antara jabatan dengan penternak.- UTUSAN ONLINE