Perkhidmatan Awam Sarawak bantu kerajaan negeri jayakan projek pembangunan - Utusan Malaysia

Perkhidmatan Awam Sarawak bantu kerajaan negeri jayakan projek pembangunan

ABANG Johari (empat dari kanan) dalam sesi foto selepas menyerahkan Anugerah Pegawai Contoh bagi perhidmatan awam negeri Sarawak pada Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SSC) akan terus menyokong dasar kerajaan negeri membangunkan infrastruktur awam, pertanian, perkilangan, pelancongan dan sektor lain yang berkualiti tinggi dan mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata sejak 2015, sebanyak 2,770 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan yang mengutamakan rakyat bagi merapatkan jurang pembangunan luar bandar dan bandar dan 330 Projek Rakyat untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“SSC telah membantu kerajaan negeri mencapai 99 peratus liputan bekalan air terawat di kawasan bandar dan 66.5 peratus liputan di kawasan luar bandar; dan juga menyediakan bekalan elektrik kepada 306,000 isi rumah di kawasan luar bandar.

“Setakat ini, 96 peratus penduduk luar bandar menikmati bekalan elektrik 24 jam,” katanya ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sebagai pelaksana, penjawat awam negeri tetap komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam seperti infrastruktur dan projek sosio-ekonomi dilakukan secara efisien.

Katanya, penjawat awam negeri juga telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pemulihan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

“Penjawat awam telah memainkan peranan penting dalam menjamin hak Sarawak yang terhakis termasuk kuasa untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST), pengiktirafan kuasa Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958), dan memperoleh hak untuk mengawal selia pengedaran gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO), 2016.

“Peranan utama penjawat awam juga jelas dengan kejayaan kita baru-baru ini apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan berkaitan MA 63 yang memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

“Bekerja dengan gigih di belakang tabir, peranan penjawat awam kita dalam penyelidikan, perundangan dan perundingan,  mereka telah membantu meletakkan Sarawak dalam kedudukan yang dicemburui sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan,” katanya

Tambahnya, penjawat awam negeri amat bersyukur kerana menteri dan pemimpin politik negeri, khususnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberikan hala tuju yang jelas dan sokongan padu dalam melaksanakan tugas.

Di sebalik pencapaian ini, beliau berkata masih banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Dengan itu, kita perlu menambahbaik pencapaian kita di semua peringkat jentera kerajaan,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN