Perkenal taman perkuburan contoh atasi kesesakan - Utusan Malaysia

Perkenal taman perkuburan contoh atasi kesesakan

MOHD. Arifin (dua kiri) beramah mesra dengan mangsa terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2 Pitas, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PITAS: Berhadapan masalah taman perkuburan semakin tidak mencukupi, dua taman perkuburan contoh akan diperkenalkan di Sabah.

Usaha itu bagi membolehkan taman-taman perkuburan lain dapat menyusun atur tapak kuburan dengan lebih baik dan tersusun.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, biarpun bukan semua taman perkuburan di negeri ini melebihi kapasiti namun, usaha awal perlu diambil bagi memastikan tidak berlaku kesesakan pada masa akan datang.

Setakat ini, dua taman perkuburan sudah dikenal pasti iaitu Taman Perkuburan Lobou, Sepanggar dan Batu 12 Sandakan yang agak tersusun dan sesuai dijadikan taman perkuburan contoh untuk rujukan kawasan lain.

“Taman perkuburan Batu 12, Sandakan kita sudah perluaskan dan begitu juga di Sepanggar, kita ada tanah perkuburan seluas 16 ekar.

“Ia boleh menampung keperluan umat Islam sekitar bandaR raya ini bagi tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang,” katanya selepas lawatan ke pusat pemindahan banjir (PPS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), semalam.

Di samping itu, beliau telah mengarahkan pengerusi dakwah daerah yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk mengenal pasti kawasan tanah bersesuaian untuk diwakafkan sebagai taman perkuburan yang lebih teratur.

Pengerusi dakwah daerah ini terdiri daripada presiden majlis daerah, pegawai daerah dan juga penolong pegawai daerah.

Menurut beliau, di Bara Daya, Tawau juga telah dikenal pasti satu kawasan untuk digunakan sebagai taman perkuburan dan ia akan dibuka apabila segala proses berkaitan selesai.

Jelas beliau, usaha yang diambil itu atas arahan Ketua Menteri yang mahukan beliau selaku menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama negeri untuk menangani masalah kesesakan tanah perkuburan di Sabah.

Dalam lawatan itu, Mohd. Arifin turut menyampaikan sumbangan bantuan khas daripada agensi di bawah MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada mangsa-mangsa terjejas banjir di Pitas dan Kota Marudu.

Sumbangan turut diberikan kepada PPD daerah untuk membolehkan mereka melaksanakan program berkaitan bagi membantu perkembangan sektor pendidikan di daerah ini. UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya