PUTRAJAYA: Kerajaan memastikan pembangunan industri rel tempatan memenuhi piawaian atau standard antarabangsa diterajui Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) mencapai matlamat negara untuk memajukan industri tersebut.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, kerajaan mempunyai visi untuk melihat industri itu menjadi sektor perniagaan kukuh dan berdaya saing selain mampu memenuhi permintaan pengangkutan rel nasional.
Katanya, ini termasuk menyertai rantaian bekalan global bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan teknologi tempatan.
“NRCOE bertindak sebagai badan penyelaras di peringkat nasional bagi melaksanakan pembangunan industri seiring dengan hala tuju negara dan keperluan industri.
“Melalui pembangunan industri rel secara holistik di bawah NRCOE, kementerian berharap dapat menambah keupayaan dan kebolehpasaran, selain meningkatkan peratusan kandungan tempatan sekurang-kurangnya 45 peratus menjelang 2030,” katanya hari ini.
Kementerian Pengangkutan turut menjelaskan, pelaksanaan program pembangunan industri rel tempatan juga mencapai matlamat pembangunan mampan negara (SDG) yang mana transformasi daripada kebergantungan terhadap pembekal dari luar negara (OEM) diubah kepada kolaborasi sumber tempatan dengan OEM untuk pasaran antarabangsa.
“Menerusi Malaysia Rail Dialogue (Marid) 2022 hari ini, lebih 200 pemain-pemain industri rel tempatan menyuarakan isu-isu dan cabaran yang dihadapi serta cadangan penambahbaikan dan pemerkasaan polisi sedia ada.
“Hasil dapatan Marid 2022 akan memberi nilai tambah kepada inisiatif pembangunan dan hala tuju industri rel pada masa akan datang seiring dengan usaha memperkasa dan meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat-syarikat berkaitan rel tempatan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sesi dialog bersama para industri tempatan serta kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan juga akan diadakan bagi menambah baik polisi serta strategi yang memberi manfaat kepada industri rel.
“Ia juga sebagai langkah permulaan untuk melihat ekosistem industri rel, di mana kerajaan, akademia dan pemain industri berganding bahu membangunkan sektor rel ke arah sektor yang kukuh serta berupaya memenuhi permintaan pengangkutan rel nasional,” jelasnya. – UTUSAN