PETALING JAYA: Enam jalan utama di ibu negara ditutup susulan penganjuran perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di sekitar ibu negara esok.
Penutupan jalan itu melibatkan Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, lencongan berkenaan bermula pukul 7 pagi esok sehingga selesai tugasan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Kata beliau, selain lencongan jalan, pengoperasian beberapa stesen Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga akan membuat diberhentikan sementara waktu esok.
Jelas Noor Dellhan, bagi laluan LRT Ampang Line/ Sri Petaling melibatkan stesen Pudu, Hang Tuah, Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Bandaraya dan Sultan Ismail.
“Bagi LRT laluan Kelana Jaya pula melibatkan Kampung Baru, Dang Wangi, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Hentian sementara operasi turut melibatkan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang iaitu stesen Bukit Bintang, Merdeka dan Pasar Seni,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata beliau, bagi perkhidmatan monorail pula, stesen terlibat iaitu Medan Tuanku, Bukit Nenas, Raja Chulan, Bukit Bintang, Jalan Imbi, Hang Tuah, Maharajalela, Tun Sambathan dan KL Sentral.
“KTM pula melibatkan stesen Kuala Lumpur,Bank Negara dan Putra. Orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di Kuala Lumpur terutamanya di kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi perlu merancang perjalanan dan urusan masing-masing yang melibatkan laluan dan juga masa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE