IPOH: Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam pergaduhan dipercayai di sebuah pasar raya di sini, selepas satu rakaman video berkaitan kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.
Klip video berdurasi satu minit lima saat itu memaparkan sekumpulan individu bertindak memukul seorang lelaki sambil diperhatikan beberapa yang lain.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesan video dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama Melvin Zheng Wenxin yang memaparkan pergaduhan di sebuah pasar raya di Ipoh.
Katanya, satu laporan polis telah diterima pihaknya dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pihak polis sedang mengesan kesemua individu dalam kejadian itu bagi membantu siasatan. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia akan menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 012-5077026 bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE