ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) diminta melakukan kajian terhadap penyakit yang didakwa memberi kesan terhadap penghasilan susu getah di kebanyakan kawasan dalam negara ini terutamanya di Kedah.
Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, penyakit tersebut yang sudah berlarutan sejak setahun lalu didapati menyebabkan daun getah gugur secara tidak menentu.

Katanya, serangan penyakit itu didapati membantut pengeluaran susu sekali gus memberi kesan terhadap pendapatan pekebun serta penoreh getah.
“Boleh dikatakan sehingga kini kalangan pekebun dan penoreh getah masih bingung memikirkan mengenai cara mengatasi penyakit ini. Biasanya daun getah hanya gugur sekali setahun tetapi apabila penyakit ini menyerang, daunnya gugur berpanjangan dan tidak menentu.
“Keadaan itu menyebabkan hasil susu getah berkurang hingga ke tahap 40 peratus. Mujurlah ketika ini harga getah agak stabil namun keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Difahamkan ketika ini harga getah sekitar antara RM3 hingga RM3.30 di ladang bergantung kepada kualiti.
Mengulas lanjut, Mohd. Taufik berkata, penyakit yang menyerang pokok-pokok getah itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan berkemungkinan berpunca daripada cuaca tidak menentu.
Katanya, ketika ini dianggarkan hampir 90 peratus daripada pekebun getah terkesan akibat penyakit tersebut dan situasinya disifatkan agak kritikal.
“Apabila penyakit itu menyerang, pucuknya hanya keluar sekejap saja dan gugur sebelum cukup matang. Biasanya untuk pokok getah, jumlah susunya itu sama ada banyak atau sedikit, boleh dilihat menerusi kesuburan daun pokok itu sendiri.
“Isu ini perlu diberi perhatian kerana jumlah pekebun di Kedah ini saja mencecah 40,000 manakala jika dicampur penoreh pula, jumlahnya mungkin mencecah hingga 60,000. Jadi banyak yang terkesan jika isu ini tidak diberi perhatian pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, katanya, kalangan pekebun serta mereka yang terbabit dengan industri getah ketika ini bersyukur memandangkan harga getah berada pada tahap stabil selain bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) turut dikekalkan.
“Kita harap harga ini dapat dikekalkan dan kalau boleh, mungkin dapat diusahakan agar dinaikkan sedikit lagi untuk menambah baik pendapatan mereka yang terlibat,” katanya. – UTUSAN