PUTRAJAYA: Boleh didakwa di mahkamah dan berdepan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Itu hukuman berat dikenakan terhadap mana-mana peniaga makanan yang didapati menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya pada pembungkusan makanan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemukan dalam makanan.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Penyedia dan peniaga makanan juga diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.
“Penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku kerana sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, Kementerian Kesihatan sedia maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Noor Hisham berkata, mengikut Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan tiada seorang boleh menyimpan atau menggunakan bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada makanan hingga boleh mendedahkan makanan kepada risiko pencemaran.
Menurutnya, Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.
“Hasil pemantauan sejak 2019 hingga kini, sebanyak 19 (3.5 peratus) daripada 546 sampel makanan yang dianalisis didapati telah tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing.
“Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat, manakala 45,361 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara pada tahun lalu.
“Dari jumlah tersebut, sebanyak 697 atau 1.5 peratus premis makanan ditutup akibat dari pelbagai kesalahan,” katanya.
Katanya, ibu bapa juga dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.
Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya.