JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), tahun lalu.
Tertuduh, Asdi Ali, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberi suapan RM10,000 kepada jurutera daerah JKR Hulu Selangor sebagai dorongan mendapatkan anggaran harga jabatan serta untuk mendapatkan kerja-kerja mengganti dan meningkatkan aspek keselamatan jalan raya di Jalan Batang Kali-Genting Highlands (B66), Hulu Selangor, Selangor.
Tindakan sama juga melibatkan kerja membaik pulih permukaan jalan serta kerja-kerja berkaitan di Jalan Kuala Kali-Rasa, Hulu Selangor. Perbuatan itu didakwa dilakukan di kelab golf Forest City di Jalan Persiaran Golf 5, Gelang Patah, dekat sini, Januari tahun lalu.
Bagi pertuduhan itu, Asdi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.
Mohd. Aliff turut meminta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor untuk dibacakan bersama kes melibatkan siasatan yang sama dengan pegawai penyiasatan dan saksi yang sama.
Berhujah kepada Hakim, Mohd. Aliff memberitahu, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948 yang memberi kesenangan memandangkan pihak terlibat dan saksi untuk pertuduhan adalah sama.
Bagaimanapun, peguambela, Nazrin Sulaiman memohon jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin digunakan untuk kes ini beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan tidak dikacau ganggu.
Nazrin memberitahu, pihaknya tidak ada bantahan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam setelah anak guamnya pernah dipanggil ke mahkamah berkenaan pada 21 Disember lalu.
Hakim membenarkan jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam diguna pakai selain membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan selain menetapkan 26 Januari sebagai sebutan semula kes.