KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi suapan wang tunai RM20,000 kepada seorang jurutera berhubung kerja-kerja menaiktaraf fasiliti dan kemudahan asrama pelajar di Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Peretak, Hulu Selangor.
Bulan lalu, Amir Ali, 46, dan adiknya, Asdi, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM83,000.
Dalam prosiding hari ini, Amir didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM20,000 kepada seorang jurutera daerah di Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor manakala kesalahan dilakukan di tempat letak kereta sebuah pasaraya di Jalan Bukit Bintang di sini pada April tahun lalu.
Menurut pertuduhan, suapan itu sebagai dorongan untuk membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu mendapatkan anggaran harga jabatan dan mendapatkan kerja-kerja menaiktaraf fasiliti dan kemudahan asrama pelajar IKBN.
Kontraktor bebas itu didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam untuk dibicara secara bersama.
“Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan dan melibatkan siasatan dan saksi sama. Mohon kes dipindahkan ke mahkamah di sana,” katanya.
Tiga pertuduhan itu berhubung anggaran harga jabatan dan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih longkang tepi jalan di Jalan Hulu Bernam-Sungai Besar, membaik pulih menurap semula jalan-jalan serta kerja berkaitan di Kampung Seri Keledang dan SKC Jaya, Hulu Bernam dan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan di Jalan Kampung Teratai, Sungai Choh.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM20,000 serta syarat tambahan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 21 Disember tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin dengan mengguna pakai jumlah jaminan dan syarat tambahan seperti yang ditetapkan sebelum ini selain turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Syarat tambahan ialah tertuduh diarah melapor diri ke Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali dan pasportnya disimpan oleh mahkamah hingga kes selesai.