PETALING JAYA: Pelaburan yang dikeluarkan untuknya bukan sedikit, malah sejak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada usia 13 tahun, lebih RM3 juta sudah dilaburkan oleh badan induk itu bagi meletakkan Lee Zii Jia di tempatnya sekarang.
Apakah wajar dia meninggalkan skuad kebangsaan pada usia baru 23 tahun dengan hanya satu kejuaraan disumbangkan iaitu All England?
Biarpun menafikan wang bukan sebab utama dia mahu meninggalkan BAM, namun atas alasan apa sekalipun belum masanya untuk Zii Jia bergerak secara profesional ketika ini.
Membenarkan dia pergi begitu sahaja akan memberi mesej tidak baik kepada pemain-pemain muda dalam skuad kebangsaan.
Selepas berusaha keras untuk menggilap bakat mereka sejak dari bawah, BAM mempunyai kuasa mengenakan tindakan, kalau perlu digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa maka itulah yang terpaksa dilakukan.
Bukan tidak sayang bakat, apatah lagi Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA akan menjengah tahun ini, manakala Sukan Olimpik menanti di Paris pada 2024.
Begitupun, jika BAM terlalu memberi muka, bimbang ia akan menjadi ikutan pemain lain dan tidak mustahil lebih ramai akan meninggalkan skuad kebangsaan.
Pemain kelahiran Kedah itu bukan Datuk Lee Chong Wei yang sudah memberi banyak sumbangan kepada negara, dan sekalipun dia mempunyai masalah dalaman, ia sepatutnya diselesaikan bersama pihak pengurusan.
Alasan terlalu tertekan dengan harapan menggunung rakyat Malaysia juga tidak cukup kuat untuk menjadi tiket dia bergerak secara profesional.
Belum terlewat buat Zii Jia menukar keputusannya untuk kekal dalam skuad kebangsaan, yang menawarkan fasiliti, kestabilan, barisan kejurulatihan dan sistem sokongan terbaik untuk pemain yang masih tercari-cari rentak sepertinya.
BAM tidak mungkin akan melepaskannya begitu sahaja. Mengenakan pampasan bukan tindakan yang mungkin diambil jika Zii Jia tetap berkeras, jadi bersediakan dia menerima penggantungan demi ‘membebaskan’ diri.
Bagaimana jika penggantungan itu mengambil masa dua atau tiga tahun? Sanggupkan dia menerimanya?.