GEORGETOWN: Bekalan minyak masak peket bersubsidi di Pulau Pinang mencukupi untuk kegunaan pengguna dengan pengeluaran sebanyak 3.3 juta kilogram (kg) setiap bulan.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, jumlah pengeluaran minyak masak peket itu juga adalah sekali ganda daripada jumlah penduduk Pulau Pinang yang kira-kira lebih sejuta orang.
“Di Pulau Pinang terdapat kira-kira 24 pembungkus minyak masak bersubsidi untuk diedarkan kepada pemborong serta peruncit di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas program tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Tanjung Bungah, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.
Sebelum ini, bekalan minyak masak peket bersubsidi dilaporkan sukar diperoleh di beberapa negeri sehingga menyukarkan peniaga-peniaga kecil memperoleh bekalan masing-masing.
Bagaimanapun, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, pihaknya memiliki bekalan stok minyak peket bersubsidi hampir 1.58 juta tan sehingga Disember lalu dan jumlah tersebut mampu memenuhi permintaan pengguna sekali gus menolak dakwaan ada elemen penyelewengan atau campur tangan kartel dalam industri tersebut.
Menurut Mohd. Ridzuan, aduan yang diterima mengenai kekurangan bekalan minyak masak peket di negeri ini juga telah berkurangan.
“Selain itu, pihak KPDNHEP juga telah melaksanakan beberapa operasi bagi membanteras penyelewengan minyak masak subsidi.
“Pihak kami telah menjalankan pemeriksaaan terhadap 4,011 premis dan dua kes dihasilkan membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan melibatkan minyak masak peket bersubsidi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Ridzuan berkata, terdapat sedikit gangguan bekalan telur ayam di pasaran Pulau Pinang serta di negeri-negeri lain ekoran kekurangan pengeluaran di peringkat penternak.
“Masalah gangguan bekalan telur ayam itu akan pulih dalam masa terdekat dengan pihak penternak telah mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasinya.
“Bekalan bukannya tiada langsung seperti yang dilaporkan, tetapi ada masalah gangguan sedikit disebabkan permintaan yang tinggi susulan sambutan Tahun Baharu Cina serta musim kenduri ketika cuti sekolah,” katanya.