Pengarah syarikat bergelar Datuk bebas 118 pertuduhan - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat bergelar Datuk bebas 118 pertuduhan

K. JAYAKUMAR (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan kes melibatkan 118 pertuduhan pemindahan wang dan pemberian invois palsu. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk daripada 118 pertuduhan iaitu 43 pertuduhan melibatkan pemindahan wang berjumlah RM16.5 juta dan 75 pertuduhan memberikan invois palsu berjumlah RM20.7 juta, hampir tujuh tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian terhadap Datuk K. Jayakumar, 47, pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya membela diri terhadap kesemua pertuduhan.

Mahkamah membebaskan pengarah syarikat pembekal perkhidmatan barangan elektrik dan kelengkapan rumah itu daripada 75 pertuduhan predikat dan 43 pertuduhan lain selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Tertuduh diwakili oleh peguam-peguam Shashi Devan dan Teh See Khoon manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat.

Perbicaraan bermula pada 29 Oktober 2018 dengan mendengar seramai 36 saksi pendakwaan memberi keterangan.

Pada 21 Februari 2018 Jayakumar didakwa di tiga Mahkamah Sesyen atas 43 pertuduhan membabitkan pemindahan wang berjumlah RM16.5 juta dan 75 pertuduhan memberikan invois palsu berjumlah RM20.7 juta.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, Hakim Azura Alwi dan Hakim Madihah Harullah. Bagaimanapun, perbicaraan didengar di hadapan Rozina.

Jayakumar dituduh atas 43 tuduhan memindahkan wang berjumlah RM16.5 juta daripada Maybank SMT Rezeki Sdn. Bhd. ke akaun Maybank milik Sinar Mentari Technology Sdn. Bhd. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 13/48A, Sentul Raya Boulevard, Sentul, di sini antara Mei 2015 dan Januari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Tertuduh juga didakwa atas 75 pertuduhan memberi dokumen Invois TTD Solutions Sdn. Bhd. berjumlah RM20.7 juta yang mengandungi butiran palsu.

Butiran palsu itu mengenai pembekalan pakej dua model telefon pintar kepada ejen yang mempunyai kepentingan bertujuan mengelirukan beliau sehingga mendorong Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kotamas) membuat pembayaran tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kotamas, Wisma Kotamas, Jalan Datuk Haji Eusoff, Kompleks Damai, di sini, antara Jun dan Disember 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya