PETALING JAYA: Seorang pengantin wanita, Nadhirah Hani Najmuddin Sharif tampil menafikan dakwaan di media sosial bahawa dirinya dan keluarga positif Covid-19 sehingga wabak itu merebak kepada tetamu yang hadir pada majlis persandingannya, 16 Januari, Ahad lalu.
Sebaliknya, wanita itu menjelaskan, dia tidak hadir pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi berkenaan kerana mengalami pendarahan ketika hamil.
“Saya Nadhirah Hani selaku pengantin perempuan ingin menjelaskan bahawa tiada satu perkara yang benar berkenaan dengan posting ini.
“Saya tidak hadir ke majlis kerana kondisi saya yang sedang hamil dan mengalami pendarahan di atas arahan daripada doktor,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, katanya, majlisnya langsung tidak melibatkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) mahupun Kementerian Kesihatan memanggil pengantin perempuan untuk memaklumkan berkenaan dengan majlis kenduri tersebut.
“Oleh yang demikian, kepada sesiapa yang menyebarkan berita palsu ini harap berhenti dengan kadar segera sebelum tindakan selanjutnya akan dilakukan oleh saya.
“Hal ini telah memburukkan reputasi ayah saya dan memberikan ancaman kepada keluarga saya,” katanya.
Nadhirah Hani adalah anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Negeri Sembilan, Najmuddin Sharif Sarimon.
Beliau melangsungkan perkahwinan dengan Muhammad Mu’awwiyah Azhar.
Yang hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – UTUSAN ONLINE