PUTRAJAYA: Seorang penganggur dilihat tergamam dan terkedu apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada hukuman penjara 22 tahun dan lapan sebatan atas kesalahan merogol dua remaja bawah umur, lapan tahun lalu.
Walaupun diterangkan oleh peguam-peguamnya selepas tamat prosiding, perayu terbabit, Muhmed Azroel Hassan, 31, dilihat masih sukar untuk ‘menghadam’ kebebasan yang baharu diperoleh selepas lapan tahun ditahan di penjara.
Terdahulu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Muhmed Azroel selepas membenarkan rayuannya.
“Kami mendapati terdapat merit dalam rayuan dan mendapati Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membuat keputusan hanya berdasarkan bukti dengar cakap. Mahkamah juga dapati adalah tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman apabila pengecaman mangsa ke atas perayu juga tidak selamat.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu (Muhmed Azroel) dan mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya,” kata Hakim Gunalan ketika membaca penghakiman sebulat suara itu.
Pada prosiding hari ini, Muhmed Azroel diwakili Zuhaidie Akmal Hassan Basri dan Raja Mohd. Afiq Raja Azmi manakala pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.
Dalam prosiding yang sama, enam lagi perayu termasuk tiga remaja bawah umur (berusia antara 14 hingga 17 tahun ketika kejadian) dalam rayuan kes yang sama tidak begitu bernasib baik seperti Muhmed Azroel apabila panel yang sama mengekalkan sabitan salah atas kesalahan merogol mangsa-mangsa yang sama.
Bagaimanapun, panel terbabit meminda hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan terhadap mereka.
“Kami berpuas hati dengan hujah responden (pihak pendakwaan) bahawa pembelaan enam perayu hanyalah penafian semata-mata. Saksi alibi yang dikemukakan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan. Maka sabitan salah yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan.
“Berhubung hukuman pula, mahkamah perlu melihat hukuman yang dijatuhkan secara keseluruhan. Mengambil kira rayuan yang dikemukakan terutamanya berhubung isu usia perayu ketika kejadian, kami dapati hukuman penjara dan sebat yang dikenakan oleh mahkamah bicara adalah keterlaluan,” kata Hakim Gunalan.
Sehubungan itu, panel terbabit meminda hukuman penjara 22 tahun dan lapan sebatan yang masing-masing dikenakan terhadap Mohamad Faiz Azahan, 29; Che Azuan Che Hassan, 37, dan Eris Che Azmi, 26, kepada penjara 18 tahun dan sebat enam kali.
Bagi tiga remaja bawah umur yang kini berusia antara 23 dan 26 tahun, Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman sebat enam kali namun mengekalkan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap perayu.
Dua daripada tiga remaja terbabit bagaimanapun perlu menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini kerana mereka sebelum ini dibebaskan dengan jaminan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa merogol dua remaja yang ketika itu berusia 17 dan 15 tahun dengan kehadiran orang lain di antara pukul 7.30 malam, 20 Mei 2014 hingga 3.30 pagi, keesokan harinya di dua rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.
Mereka didakwa atas mengikut Seksyen 376(2)(c) dan 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum antara 20 hingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Menurut fakta kes, mangsa berusia 17 tahun yang dinamakan sebagai SP1 sewaktu perbicaraan telah melarikan diri dari rumah kakak angkatnya. Dia kemudian telah meminta rakannya, SP6 yang berusia 15 tahun untuk mengambilnya di rumah teman lelaki SP1 bernama Aliff.
Ketika di rumah tersebut, rakan-rakan teman lelaki SP1 telah datang dan kemudiannya mengheret Aliff serta seorang lagi rakan mereka bernama Iwan, keluar dari rumah tersebut dan mengunci kedua-dua mangsa dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.
Kedua-dua mangsa kemudian dirogol secara bergilir sehingga pengsan dan mengalami pendarahan. Selepas kejadian itu berlaku, Iwan bertanya kepada SP1 sama ada ingin membuat laporan polis namun SP1 pada mulanya enggan kerana dia telah dirogol oleh ramai lelaki dan ia akan memalukan ibunya.