TAIPING: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Nasiruddin A. Rahman, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap remaja itu dengan menyentuh bahagian badan mangsa dalam kereta jenis Toyota Avanza di ladang kelapa sawit, Jalan Lampin, antara pukul 5 dan 6 petang, 24 Disember 2021.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 bagi seorang penjamin dan menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula bagi lantikan peguam.
Menerusi laporan media pada Sabtu lalu, seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan remaja bawah umur.
Suspek dan mangsa berkenalan melalui aplikasi Instagram (IG) sejak setahun lalu dan kejadian itu dikatakan terbongkar apabila ibu mangsa mencurigai mesej pada telefon bimbit anaknya sebelum membuat laporan polis. – UTUSAN