PADAWAN: Penduduk di tujuh buah kampung di hulu Padawan, di sini terputus hubungan selepas berlaku kejadian tanah runtuh di laluan antara Kampung Abang dan Sekolah Kebangsaan Kambug petang ini, berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
Kejadian itu diambil maklum dan tindakan oleh Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil.
Willie ketika dihubungi berkata, ketika ini jalan berkenaan belum dapat dilalui oleh kenderaan.
“Kami telah memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan CMS Road Maintenance untuk tindakan segera,” katanya.
Sementara itu, Dr. Jerip berkata, pasukan dari JKR Tapah sudah bergerak ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Keadaan (jalan raya yang tertimbus) harus segera dibersihkan supaya penduduk terjejas tidak lama terkandas terutama mereka yang pulang dari tempat kerja dan pergi ke tempat kerja masing-masing termasuk murid yang turun ke sekokah esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE