ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah digesa campur tangan menyelesaikan masalah yang dihadapi seramai 30 keluarga di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Sungai Petani selepas diarahkan berpindah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 19 Disember lalu.
Pegawai Luar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf berkata, penduduk terlibat kini gelisah dan sedih kerana terpaksa mengosongkan tanah di kawasan kampung itu yang merupakan milik seorang individu bergelar datuk.
Menurutnya, penduduk kecewa apabila tiada tindakan dan simpati daripada pihak berwajib selepas mereka mendapat perintah mahkamah tersebut.
“Penduduk terpaksa menyewa rumah dan menumpang rumah saudara-mara malah ada yang terpaksa berteduh di bawah khemah di kawasan hutan paya bakau berhampiran.
“Lebih menyedihkan apabila ada penduduk yang masih menunggu dengan sabar walaupun rumah sudah menyembah bumi namun tiada sebarang pampasan atau bantuan bagi mengurangkan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya juga dimaklumkan kebanyakan penduduk terlibat merupakan pesara kerajaan, peniaga kecil, buruh kasar, pekerja kilang yang hanya berpendapatan sekitar RM300 hingga RM1,000 sebulan dan tidak mampu menjalani kehidupan baru.
Sementara itu, seorang penduduk, Kholijah Kassim, 63, berkata, dia yang bergantung hidup dengan menjual kuih hanya peroleh pendapatan RM10 sehari untuk kelangsungan hidup.
“Saya tidak tahu di mana mahu tinggal selepas ini, kalau hendak sewa rumah, duit tidak cukup jadi saya mohon pihak kerajaan negeri dapat bantu sediakan rumah untuk saya berteduh dan kami juga terkilan apabila tiada lagi pihak datang membantu menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Baru, Pulau Tiga, Saheme Hashim, 54, berkata, akibat kekesalan itu, penduduk turun membuat perhimpunan aman di hadapan Wisma Negeri di sini pada 30 Disember lalu.
“Namun masih tiada tindakan dan kami amat kesal apabila pihak berwajib tidak ambil peduli dan membiarkan masalah ini berterusan hingga sekarang,” katanya. – UTUSAN