Penduduk tangkap ular sawa seberat 20kg - Utusan Malaysia

Penduduk tangkap ular sawa seberat 20kg

ANGGOTA APM menunjukkan seekor ular sawa yang ditangkap oleh penduduk di Kampung Ambing, Kuala Pegang, Baling hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seekor ular sawa seberat 20 kilogram (kg) berjaya ditangkap oleh penduduk sebelum diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling di Kampung Ambing, Kuala Pegang di sini hari ini.

Ular sawa sepanjang kira-kira empat meter itu yang sedang menuju ke kandang kambing ditemukan oleh penduduk ketika berada di atas jalan di kampung itu.

Pegawai APM Daerah, Kapten (PA) Rashidah Kasim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1 petang yang memaklumkan seekor ular sewa ditangkap penduduk malam semalam.

Menurutnya, seramai empat anggota APM tiba di lokasi untuk mengambil ular sawa tersebut yang dikurung oleh penduduk dalam sebuah sangkar ayam selepas menangkap ular berkenaan.

“Operasi selesai pada pukul 1.55 petang dan ular itu dibawa balik ke APM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Taufik Zainal Abidin, 21, berkata, dia terserempak dengan ular sawa tersebut yang berada di tengah jalan berdekatan rumahnya pada pukul 9 malam semalam.

Katanya, ular tersebut mungkin sedang bergerak ke arah kandang kambing  berhampiran rumahnya.

“Mungkin ular itu terbau darah kambing yang disembelih untuk majlis kenduri keluarga saya beberapa hari lalu,” katanya.

Menurutnya, dia yang bimbang dengan keselamatan kambing-kambing miliknya kemudian memanggil beberapa orang jirannya untuk membantu menangkap ular sawa itu.

“Jiran-jiran berjaya menangkap ular sawa itu dan memasukkannya ke dalam sangkar ayam sementara menanti siang hari untuk menyerahkannya kepada APM,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya