KULIM: Pengguna yang berulang-alik di simpang empat Jalan Sidam Kiri-Jalan Pokok Jambu, Padang Serai di sini, merayu pihak berkuasa memasang lampu isyarat di persimpangan tersebut bagi mengelak kesesakan terutama pada waktu puncak.
Pemasangan lampu isyarat itu juga untuk keselamatan pengguna memandangkan kemalangan sering berlaku di persimpangan tersebut.
Laluan itu turut digunakan ibu bapa menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Lobak, Maktab Mahmud Cawangan Kulim, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Lela Pahlawan dan SMK Padang Serai.
Seorang penduduk, Mohd. Khir Osman, 66, dari Kampung Bukit Sidam berkata, jalan di persimpangan itu sesak pada waktu pagi sehingga mengancam keselamatan
pengguna terutama ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.
Katanya, kesesakan itu berlaku berikutan pertambahan kenderaan yang menggunakan jalan tersebut selepas taman perumahan Prima dibangunkan di Sidam Kiri dekat sini, sejak dua tahun lalu.
“Pada masa ini, pengguna jalan raya mengambil masa yang lama untuk melepasi simpang tersebut dan berisiko berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Abdul Hamid Abdullah, 78, berkata, lampu isyarat perlu dipasang segera di persimpangan tersebut untuk kemudahan dan keselamatan pengguna pada waktu puncak.
“Persimpangan tersebut juga sibuk dengan van dan bas kilang kerana terletak tidak jauh dari kawasan perindustrian,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Nashrah Md. Sultan pula berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sidam Kanan telah membuat permohonan lampu isyarat kepada pihak berwajib sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada tindakan diambil oleh pihak terlibat untuk memasang lampu isyarat di jalan berkenaan.
“Pihak yang terlibat sepatutnya memasang lampu isyarat tersebut memandangkan penduduk telah membuat permohonan tersebut sejak dua tahun lalu.,” katanya. – UTUSAN ONLINE