Penduduk Kampung Kuala Triang perlu 15 buah rumah rakit - Utusan Malaysia

Penduduk Kampung Kuala Triang perlu 15 buah rumah rakit

ANTARA rumah rakit yang dibina penduduk di Kampung Kuala Triang di Bera, Pahang yang berfungsi sebagai stor simpanan semasa bencana bah melanda kampung berkenaan. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kerajaan dicadang membina 10 hingga 15 buah rumah rakit di Kampung Kuala Triang di sini yang kerap dilanda banjir sebagai persediaan penduduk khususnya yang kurang berkemampuan menghadapi musibah tersebut.

Rumah rakit disifatkan sebagai stor sementara yang berupaya menyelamat harta benda penduduk terutama di kawasan yang kerap dilanda banjir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Triang, Adam Ismail berkata, hanya 37 keluarga daripada 126 keluarga yang kerap terjejas banjir mempunyai rumah rakit sendiri.

Katanya, rumah rakit dilihat banyak memberi manfaat kepada penduduk pada musim banjir bagaimanapun disebabkan kos yang tinggi, tidak semua mampu membina rumah rakit sendiri.

“Berbeza mereka yang tiada rumah rakit, masing-masing terpaksa mencari alternatif lain untuk menyelamatkan barangan mereka. Ada yang meletakkan barangan di kawasan tinggi dengan harapan tiada berlaku sebarang kes kecurian,” katanya di sini semalam.

Adam berkata, anggaran kos membina rumah rakit antara RM10,000 hingga RM13,000 sebuah bergantung kepada keluasan rumah rakit tersebut.

“Kalau cadangan ini diterima, ia boleh diletakkan di bawah tanggungan jabatan atau agensi berkaitan agar tidak wujud sebarang penyelewengan atau tidak puas hati daripada pihak tertentu.

“Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Seri Norolazali Sulaiman meminta pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) mereka bentuk rumah rakit yang bersesuaian. Cuma ia masih di peringkat awal tapi saya berharap, ia dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.

Seorang penduduk kampung itu, Norizah Mohd. Said, 53, berkata, setiap kali bencana banjir melanda, rumahnya akan dinaiki air dan setiap kali itulah ada sahaja barangan yang rosak.

“Memang saya sudah bersiap sedia dengan membina para berdekatan siling rumah tapi bukan semua barang boleh diletak atas para. Kalau mesin basuh atau peti ais, memang tak muat. Lagipun, saya risau letak barang banyak-banyak nanti roboh pula,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mampu mengeluarkan kos yang besar untuk membina rumah rakit.

“Sekiranya kerajaan atau pihak tertentu dapat membantu dalam perkara ini, sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk di sini membina rumah rakit dan mengurangkan kos kerosakan barangan setiap kali berlaku banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya