Penduduk gempar pejabat, rumah penguasa Perhilitan hangus

Penduduk gempar pejabat, rumah penguasa Perhilitan hangus

KEADAAN api yang marak membakar pejabat Perhilitan dan rumah penguasa di Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - FOTO/IHSAN PENDUDUK KUALA TAHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk dan pengunjung di Taman Negara Kuala Tahan di sini gempar apabila pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kuala Tahan dekat sini terbakar kira-kira pukul 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, kejadian bermula pukul 9.30 malam menyebabkan api marak dengan cepat kerana bangunan tersebut dibina daripada kayu.

“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Kebakaran berjaya dikawal oleh anggota bomba dan penyelamat pada pukul 4.55 pagi dan jumlah kerugian masih dalam taksiran pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya menerima maklumat kebakaran sebuah bilik penyimpanan simpanan peluru pejabat Perhilitan Kuala Tahan terbakar pada pukul 10.21 malam semalam.

Katanya, seramai 17 pegawai dan anggota JBPM Pahang dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jerantut, BBP Temerloh dan BBP Bukit Angin dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira 80 kilometer dari Bandar Jerantut.

“Pihak JBPM menerima panggilan kecemaran MERS 999 dan BBP Jerantut ketika dalam perjalanan sejurus menerima panggilan kecemasan dan terpaksa menyeberangi Sungai Tembeling untuk melakukan operasi pemadaman.

“Pejabat Perhilitan ini terletak berdekatan dengan Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) yang sering dikunjungi pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengurus MTNR, Kingston Khoo berkata, kebakaran Pejabat Perhilitan di situ berlaku berdekatan dengan resort pada kira-kira pukul 10 malam semalam.

Katanya, anggota bomba sukarela turut mengawal api supaya tidak merebak ke kawasan resort.

“Penginapan MTNR tidak terjejas kerana bangunan ini terletak berasingan. Semua tetamu dan kakitangan di resort ini selamat dan tiada sebarang kecederaan.

“Pada pukul 7.10 pagi hari ini, pihak Bomba dan Penyelamat Jerantut telah mengklasifikasikan resort kami sebagai selamat dan semua operasi serta aktiviti hospitaliti berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, semua sistem dan perkhidmatan di resort, termasuk semua operasi dan perkhidmatan rangkaian mudah alih telah beroperasi sepenuhnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin yang melawat ke tempat kejadian bersyukur kerana semua kakitangan Perhilitan dan pengunjung yang menginap di situ selamat.

“Hal ini ini atas kerjasama dan kecekapan kakitangan Perhilitan dan MTNR melaksanakan kerja menyelamat dengan memindahkan pengunjung resort ke seberang sungai.

“Saya berharap keadaan akan pulih segera dan tidak menjejaskan aktiviti menyambut kehadiran pengunjung sepanjang cuti hujung minggu ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, S. Sivakrishnan, 45, berkata, dia berterima kasih dan memuji kecekapan kakitangan resort menyelamatkan mereka yang menginap di situ.

“Saya terdengar bunyi letupan kuat dari bangunan berhampiran resort dan tidak lama kemudian kakitangan hospitaliti datang menyuruh kami keluar dari bilik masing masing dan berkumpul di sebuah kawasan lapang.

“Kemudian kami dipindahkan ke seberang Sungai Tembeling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dan pulang semula ke bilik penginapan setelah kebakaran pulih,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya