MELAKA: Penduduk Kampung Batu 7 1/2 Bukit Rambai di sini, berang apabila sebuah kolam terbiar di kawasan itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram termasuk sisa ratusan buah kelapa yang mencacatkan pemandangan.
Selain permukaan kolam dipenuhi sampah sarap, terdapat pelbagai sisa lain dibiarkan membukit di tebing termasuk perabot terpakai, ratusan buah kelapa dan barangan plastik.
Seorang penduduk, Ramli Mihat, 70, berkata, perbuat itu dipercayai berlarutan sejak empat tahun lalu dan kini terdapat pihak luar yang masuk ke kampung itu semata-mata untuk membuang sisa buah kelapa di tebing kolam berkenaan.
“Disebabkan lokasi kolam ini jauh ke dalam, iaitu kira-kira 700 meter dari jalan utama, kolam ini menjadi sasaran tempat longgokan sampah haram. Sekarang ini ada pula orang luar yang masuk ke kampung ini dan campakkan buah kelapa yang telah dibakar, saya syak individu terbabit merupakan peniaga,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.
Dia yang merupakan anak jati kampung tersebut memberitahu, selain mencacatkan pemandangan, longgokan itu turut menyebabkan kehadiran pelbagai haiwan perosak dan anjing liar.
“Sekarang ini saya nak berbasikal ke kebun pun kena bawa parang, takut anjing-anjing liar yang mencari makanan di kolam itu datang menyerang, kalau kena gigit bukan sahaja sakit tetapi kita takut dapat penyakit. Biawak komodo juga semakin banyak di kolam ini, kadangkala empat hingga lima ekor naik ke tebing, risau juga kalau bertembung,” katanya. – UTUSAN ONLINE