Pendigitalan pendidikan perlu fokus anjakan minda, kemahiran, infrastruktur - Utusan Malaysia

Pendigitalan pendidikan perlu fokus anjakan minda, kemahiran, infrastruktur

WAHID Razzaly (tengah) dan Rita Irina Abd. Wahab (kanan) ketika menghadiri Forum Akademia 'Kecemerlangan Akademia Di Era Digitalisasi Pendidikan' secara dalam talian di Dewan Seminar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proses pendigitalan pendidikan tinggi negara perlu memfokuskan anjakan minda, kemahiran dan infrastruktur antara golongan pendidik atau ahli akademik dengan mahasiswa.

Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Abdul Karim Alias berkata, tiga perkara itu antara faktor utama isu persediaan dalam mendepani era pendigitalan terutama dalam norma baharu ketika ini.

ABDUL KARIM ALIAS

Katanya, ‘penghijrahan’ amalan pengajaran dan pembelajaran bersemuka kepada secara dalam talian sememangnya menjadi cabaran utama sektor pendidikan dan semua pihak terlibat.

“Namun, semua pendidik atau ahli akademik perlu bersedia dengan kaedah baharu menerusi anjakan minda drastik dan kemahiran dalam dunia digital.

“Kita tidak lagi boleh memfokuskan cara lama (fizikal dan bersemuka) dan semua mahasiswa juga harus sedia mengubah minda mereka untuk menerima keadaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Forum Akademia Kecemerlangan Akademia Di Era Digitalisasi Pendidikan secara dalam talian di Dewan Seminar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr. Wahid Razzaly; Timbalan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr. Zoraini Wati Abas dan Naib Presiden Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Huawei Technologies (Malaysia) Sdn .Bhd., Rita Irina Abd. Wahab.

Hadir sama, Pengarah Rakan Kerjasama Strategik Global UiTM, Profesor Dr. Ahmad Naqiyuddin Bakar dan Pengerusi MPPA, Ahmad Faizal Mohamed Fiah sebagai moderator.

Terdahulu, forum anjuran Majlis Presiden Persatuan Akademik (MPPA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Jelas Abdul Karim, tidak dinafikan beberapa isu berkaitan pendigitalan turut timbul antaranya peralatan dan kemudahan infrastruktur.

“Setiap individu sama ada pendidik atau mahasiswa itu mempunyai learning curve (keluk pembelajaran) berbeza terutama ketika belajar secara dalam talian.

“Masalah seperti melibatkan peralatan dan talian komunikasi terhad turut menjadi cabaran kita waktu ini yang perlu diselesaikan,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat memastikan isu seumpama itu dapat di atasi dan tidak lagi timbul demi pembangunan sektor pendidikan tinggi.

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata, pihaknya amat mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk MPPA dan sektor swasta dalam membantu menghadapi era digitalisasi pendidikan.

“Forum seumpama ini yang disertai pihak akademia, industri dan pengurusan universiti nyata menjadi wadah untuk bertukar pandangan masing-masing.

“Selain itu, ia mampu menghasilkan buah fikiran yang bernas demi kemajuan pendidikan tinggi negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya