Pemuda maut ketika beriadah

Pemuda maut ketika beriadah

PEMUDA berusia 35 tahun maut ketika beriadah di kawasan rekreasi tasik Taman Seri Impian, Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pemuda berusia 35 tahun maut ketika sedang beriadah di kawasan rekreasi tasik Taman Seri Impian di sini, kira-kira pukul 7.20 petang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa sempat mengadu sakit dada dan sukar bernafas kepada rakannya sebelum kejadian.

“Pada 7.50 petang, polis terima laporan melalui panggilan kecemasan MERS 999 memaklumkan terdapat seorang lelaki warga tempatan lingkungan 30-an tidak sedarkan diri disyaki telah meninggal dunia di kawasan rekreasi itu.

“Ketua Polis Balai Kluang bersama tiga anggota telah pergi ke tempat kejadian dan siasatan mendapati, si mati seorang Ielaki warga tempatan rebah dan tidak sedarkan diri ketika sampai di kerusi yang disediakan di kawasan rekreasi.

“Rakan mangsa memaklumkan dia ada beberapa kali mengakui sakit di bahagian dada sebelum ini, namun tidak pasti sama ada mangsa ada membuat rawatan di hospital atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan si mati tiada menunjukkan berlakunya sebarang unsur jenayah atau khianat.

“Pegawai Perubatan dari unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke hospital itu dan diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya yang memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui talian 07-7784222 atau 07-7784256. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya