Pemilik syarikat didenda, guna sijil halal tidak diiktiraf Jakim - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didenda, guna sijil halal tidak diiktiraf Jakim

A. Nadaraja (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari atas dua pertuduhan memperakukan sijil halal tidak diiktiraf Jakim di dua buah restoran di Nilai.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan seorang pengarah syarikat menggunakan logo halal luar negara yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dua buah restoran di Nilai memakan diri apabila dia didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim, Mohd. Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas A. Nadaraja, 59, yang juga Pengarah Syarikat Seribu Rasa Sdn. Bhd. mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah turut menetapkan Orang Kena Siasat (OKS) itu dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Nadaraja didakwa telah memperakukan makanan yang diberikan dalam Restoran Giger Noi Thai Kitchen sebagai halal dengan cara yang bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Kesalahan itu dilakukan di Restoran Giger Noi Thai Kitchen, Mesamall, Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai pada pukul 4.50 petang, 20 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Nadaraja telah melakukan kesalahan sama di Harum Manis, Mesamall, Persiaran Ilmu, Bandar Baru Nilai pada pukul 5.20 petang, 20 Oktober 2020.

Sehubungan itu, OKS didakwa di bawah Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (a) (A) perintah yang sama.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kee Shu Min.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah membuat pemeriksaan di dua restoran terbabit dan mendapati kesemua sijil halal yang dipamerkan dalam restoran itu bukan kepunyaannya. 

Semasa pemeriksaan, pihak berkuasa telah menemui beberapa salinan sijil halal dari luar negara dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik syarikat lain. 

Hasil semakan dilakukan JHEAINS dan Jakim telah mengesahkan syarikat OKS dan restoran tersebut tidak memiliki SPHM dan bukan pemegang SPHM yang sah dalam Negeri Sembilan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya