Pemilik sijil vaksin palsu akan diberi kaunseling - Dr. Kasemani Embong

Pemilik sijil vaksin palsu akan diberi kaunseling

ROHAIMI Md. Isa (dua dari kanan) bersama Dr. Kasemani Embong memegang sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dalam sidang akhbar di IPK Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Individu yang memiliki sijil vaksinasi Covid-19 palsu akan diberikan nasihat serta kaunseling agar segera mendapatkan suntikan berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, pihaknya kini giat menjejaki kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu.

“Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti individu berkenaan untuk diberikan kaunseling,” katanya di sini hari ini.

Sabtu lalu, seorang doktor klinik swasta di Marang ditahan pihak polis dipercayai kerana menawarkan khidmat menjual sijil vaksinasi palsu termasuk kepada pelanggan dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, perbuatan itu difahamkan dilakukan suspek sejak September lalu selepas premisnya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Sementara itu, Kasemani berkata, individu yang memiliki sijil vaksinasi tanpa suntikan boleh dikompaun RM1,000 jika didapati melakukan aktiviti seperti merentas negeri dan negara di samping ‘dine-in’.

Katanya, tindakan itu diambil di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Dalam perkembangan sama, menurutnya, sebanyak 41 pusat pemberian vaksin (PPV) swasta terdapat di negeri ini dengan 39 daripadanya adalah klinik dan dua hospital.

“Setakat ini kita tidak mengesan mana-mana klinik swasta lain yang terlibat dalam penjualan sijil vaksinasi palsu itu dan antara tindakan yang akan diambil kepada doktor termasuk digantung atau dibatalkan pendaftaran mereka sebagai pegawai perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya