Pemergian ke Beijing sekadar timba pengalaman - Norza - Utusan Malaysia

Pemergian ke Beijing sekadar timba pengalaman – Norza

MOHMAD NORZA ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing, China yang membuka tirai pada 4 Februari ini hanyalah untuk menimba pengalaman seperti mana pembabitan sulung atlet negara di PyeongChang, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, perjalanan Malaysia dalam temasya musim sejuk itu masih jauh dan pada penyertaan di Beijing hanya dua wakil negara akan bersaing.

“Sasaran kita masih sama iaitu menimba pengalaman dan pendedahan dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk. Dua atlet ski kita yang menyertai temasya di Beijing iaitu Aruwin Salehhuddin yang baru berusia 17 tahun dan Jeffrey Webb, 23 tahun, masing-masih berlatih di Croatia serta Amerika Syarikat.

“Mereka berlatih bersendirian di luar negara dan ini merupakan penyertaan kedua kita dalam temasya ini. Kita berharap pada penyertaan di Itali pula nanti akan berlaku lagi peningkatan dari segi penyertaan atet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jalur Gemilang oleh Chef de Mission (CDM) Malaysia di PyeongChang, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar kepada Moira Tan yang menggalas tanggungjawab selaku CDM di Beijing dekat sini, kelmarin.

Selain Norza, turut menjadi saksi kepada upacara penyerahan Jalur Gemilang itu adalah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang YuJing.

Norza turut mengakui pihaknya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada penyertaan dua atlet Malaysia kerana kejayaan mereka melayakkan diri ke Beijing sudah dianggap satu pencapaian besar dan membanggakan negara.

Beliau turut berharap pembabitan Aruwin dan Jeffrey dapat menarik lebih ramai penyertaan atlet ke dalam sukan musim sejuk.

Tegas Norza, Malaysia bukanlah sebuah negara musim sejuk dan sekiranya ada persatuan sukan yang mampu menyediakan ‘blueprint’ dengan disertakan data lengkap untuk diusulkan kepada MOM, sudah tentu cadangan itu akan dinilai sebaik mungkin sebelum di bawa kepada kerajaan.

“Proses pembangunan juga perlu disusun dan dirancang dengan baik oleh persatuan sukan terlibat agar pada satu hari nanti sukan musim sejuk mampu menjadi sebuah sukan elit di negara ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya