KUALA SELANGOR: Tindakan seorang lelaki yang tular memandu Toyota Camry secara berbahaya di Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, Sabtu lalu memakan diri apabila ditahan polis semalam.
Kejadian pada pukul 5.33 petang melibatkan pemandu berusia 30 tahun itu dikesan menerusi satu rakaman kamera papan pemuka kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, video berdurasi tiga minit itu memaparkan tindakan seorang lelaki memandu melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Berdasarkan rakaman itu, pemandu Camry berkenaan sedang mengejar kenderaan di hadapannya.
“Lelaki itu turut mengekori secara rapat dan melakukan halangan jalan di persimpangan Jalan Teluk Piah Kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, bertindak atas kejadian tular di media sosial itu, satu laporan polis dibuat bagi tindakan lanjut.
“Anggota trafik kita kemudian berjaya mengesan pemandu itu kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
“Tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor ketika dia dipanggil hadir bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih bersabar dan memandu secara berhemah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.