Pemandangan Bukit Nyatoh memukau, pokok-pokok dipterokarpa bertukar perang seperti musim luruh - Utusan Malaysia

Pemandangan Bukit Nyatoh memukau, pokok-pokok dipterokarpa bertukar perang seperti musim luruh

KEINDAHAN pokok-pokok kayu yang bertukar warna perang mengubah pemandangan landskap bukit bukau di Perlis pada musim luruh.– UTUSAN/SYAMIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Setiap kali tiba musim angin timur dengan cuaca panas terik atau kemarau suatu pemandangan indah akan dapat disaksikan di Bukit Nyatoh, Kampung Syed Omar di sini.

Keunikan pokok-pokok dipterokarpa yang bertukar warna perang seperti di musim luruh akan dilihat apabila melalui sepanjang jalan Kampung Syed Omar sehingga ke Batu Pahat di sini iaitu kira-kira 9 kilometer dari Kangar.

Apabila melalui kawasan berkenaan, mata yang melihat pastinya tertumpu di bukit berkenaan bagi menyaksikan keindahan pokok-pokok yang bertukar warna sekali gus menyaksikan pemandangan cukup mempesona.

Malah, ramai yang berhenti di bahu-bahu jalan bagi merakam pemandangan indah itu selain di bukit-bukit lain sekitar negeri ini juga menyaksikan pemandangan sama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, di negara ini, flora batu kapur terdiri dari 1,250 spesies dan beberapa peratus daripadanya adalah terdiri daripada jenis pokok kayu dipterokarpa.

Katanya, di Perlis, pokok jenis dipterokarpa pamah itu dapat dilihat di hampir semua bukit-bukit yang terdiri daripada spesies meranti, merawan, cengal, mersawa dan pelbagai lagi.

“Ada diantara spesis tersebut dikelaskan berada di dalam kategori kebiasaan di Perlis, Langkawi, Kedah dan selatan Thailand.

“Iklim subtropika di negeri ini dengan purata tahunan taburan hujan 2,000 milimeter (mm) menjadikan pokok-pokok dipterokarpa hidup subur untuk pusingan berbunga setahun sekali bermula penghujung bulan April setiap tahun.

“Ketika musim kemarau seawal Disember sehingga Mac, pokok-pokok ini akan mula meluruhkan daun sebelum kembali berputik di awal bulan April,” katanya.

Tambah Syamil, kitaran tersebut memberikan pemandangan seperti musim luruh yang hanya dilihat di dinding-dinding bukit batu kapur.

“Bagi mereka yang suka merakam gambar, kawasan tersebut menyajikan pemandangan yang cukup indah. Malah, ramai orang yang melalui kawasan tidak melepaskan peluang merakamkan gambar.

 

SYAMIL ABDUL RAHMAN

“Perlis sememangnya negeri cukup unik yang kaya dengan keindahan alam semula jadi. Malah, kita juga mempunyai iklim panas terik pada waktu siang dan sejuk di sebelah malam pada musim angin timur,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya