KEMAMAN: Seorang pemajak telur penyu terkejut dengan penemuan bangkai reptilia marin itu di Pantai Kijal di sini hari ini.
Roslan Muhammad, 54, berkata, bangkai anak penyu agar itu ditemukan anaknya, Muhammad Aqil, 21, ketika mereka memungut telur di pantai berkenaan, kira-kira pukul 7.30 pagi.
Katanya, penyu malang itu turut mempunyai kesan luka di bahagian leher dipercayai akibat terkena pukat.
“Anak penyu yang dianggarkan berusia antara dua ke tiga tahun itu ditemukan di celah batu. Berdasarkan keadaan haiwan itu, berkemungkinan ia baru mati semalam,” katanya ketika dihubungi.
Roslan berkata, hujung tahun lalu, dia turut menemukan bangkai anak penyu di pantai sama, dipercayai mati akibat terkena pukat.
Katanya, penemuan terbaharu bangkai penyu itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Perikanan.