KUALA TERENGGANU: Pelantar minyak Telok A milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dekat sini berisiko meletup dilanggar kapal pesisir pantai milik syarikat Indonesia, Winposh Rampart yang hanyut ke perairan Terengganu, semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini menggerakkan operasi khas bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini menimpa kesemua lapan pelantar di situ.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, kapal Winposh Rampart sepanjang 72 meter dan seberat 2,588 tan itu dikatakan hanyut selepas terputus tali tunda di kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu pada pukul 3.15 petang.
Katanya, kapal tanpa kru itu ditunda oleh kapal Limin Rosmina milik syarikat perkapalan sama menuju ke Yang Pu, China dari Matak, Indonesia.
“Semasa kedua-dua kapal itu berada di perairan Vietnam, tali tundanya terputus berikutan cuaca buruk lalu menyebabkan kapal Winposh Rampart hanyut sehingga memasuki perairan Malaysia.
“Berdasarkan analisis penilaian risiko, kapal itu berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A dan boleh mengakibatkan kawasan pelantar meletup di samping melibatkan kemalangan nyawa jika bantuan awal tidak diberikan bagi menanganinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Zubil berkata, Maritim Malaysia telah mengambil tindakan pantas mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal Winposh Rampart terbabit ke lokasi lebih selamat.
Malah, katanya, Pasukan Tindakan Khas (PTK) agensi berkenaan turut diatur gerak dengan menggunakan pesawat AW139 bagi menganalisis situasi itu di samping mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut dan berisiko merempuh pelantar.
“Selain itu, Kapal Maritim (KM) Jujur dengan kekuatan enam anggota PTK telah dikerah ke lokasi kapal pesisir pantai itu untuk memberikan bantuan manakala Petronas pula menghantar dua aset iaitu kapal Icon Lotus dan SK Pilot bagi memantau serta membantu operasi,” katanya.
Difahamkan, Maritim Malaysia dengan bantuan Petronas masih berusaha menunda kapal Winposh Rampart itu yang dikatakan kini berada pada jarak antara 16 hingga 35 batu nautika dari pelantar dengan kelajuan angin 40 ke 50 kilometer per jam (kmj) di samping ketinggian ombak 2.5 ke 3.5 meter.