Pelaksanaan duti eksais cecair vape ditangguh - Utusan Malaysia

Pelaksanaan duti eksais cecair vape ditangguh

Majoriti negara di seluruh dunia telah mengambil pendekatan mengawal selia produk rokok elektronik atau e-rokok dan vape kerana ia adalah produk unik sesuai untuk menggantikan produk berasaskan tembakau.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan duti eksais ke atas cecair dan gel bernikotin dalam rokok elektronik (vape) yang sepatutnya bermula 1 Januari lalu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 telah ditangguhkan.

Menurut sumber industri, arahan penangguhan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan ekoran Kementerian Kesihatan sedang dalam proses menggubal satu akta baharu untuk mengawal selia semua jenis rokok dan produk tembakau termasuk rokok vape.

Difahamkan Rang Undang-Undang bagi mewujudkan aktara baharu itu akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang.

Dengan perkembangan terbaharu ini, pihak Kementerian Kesihatan berpendirian pelaksanaan duti eksais ke atas cecair dan gel bernikotin untuk vape wajar ditangguhkan terlebih dahulu sehingga akta yang bakal digubal ini diluluskan.

Sehubungan itu Kementerian Kewangan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan duti eksais tersebut ke satu tarikh baharu pada tahun ini.

Dalam Bajet 2022 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan bersetuju untuk mengenakan duti eksais ke atas cecair dan gel bernikotin pada vape mulai bulan ini.

Duti eksais yang bakal dikenakan itu adalah pada kadar RM1.20 per milimeter (ml) bertujuan mengawal selia vape  secara menyeluruh.

Sebelum ini kerajaan telah mengenakan duti eksais ke atas cecair dan gel tanpa nikotin yang dilaksanakan mulai Januari tahun lalu.

Dalam belanjawan itu juga kerajaan telah menyelaraskan duti eksais untuk cecair dan gel tanpa nikotin itu dari 40 sen kepada RM1.20 sama seperti yang bernikotin.

Vape adalah industri yang sangat besar dan berpotensi tinggi untuk menyumbang pendapatan kepada negara yang memerlukan tumpuan khusus daripada kerajaan untuk memperkembang industri itu sebagai salah satu industri yang utama dalam ekonomi.

Mengikut kajian, industri vape dilaporkan bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan.

Industri itu juga majoritinya diusahakan oleh golongan bumiputera dan telah berjaya mewujudkan lebih daripada 15,000 pekerja. Pada masa sama, kebanyakan pekerja dalam industri itu adalah pekerja bumiputera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya