Pelacur warga Afrika tawar servis ‘eksklusif’ RM600 satu malam

Pelacur warga Afrika tawar servis ‘eksklusif’ RM600 satu malam

KHAIRUL Dzaimee Daud (berdiri) bersama pasukan penguat kuasa Imigresen menumpaskan sindiket pelacuran warga Afrika di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - FOTO/FAISOL MUSTAFA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Licik, sukar dikesan, berpindah randah dan eksklusif hanya untuk pelanggan tetap sahaja. 

Itu modus operandi sindiket pelacuran warga Afrika yang dikesan beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak lebih setahun lalu. 

Bagaimanapun, sindiket yang beroperasi di kondominium mewah dan pangsapuri servis itu akhirnya berjaya dilumpuhkan  hasil risikan dan penyamaran anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam tadi. 

Dalam serbuan pukul 11 malam di sebuah pangsapuri servis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu, enam wanita masing-masing empat warga Tanzania dan dua warga Uganda berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan. 

Serbuan sama turut menahan empat pelanggan masing-masing tiga lelaki warga Afrika dan seorang warga tempatan berusia lingkungan 30-an. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, beliau mengakui tangkapan kali ini unik kerana belum pernah ada lagi tangkapan membabitkan pelacur warga Afrika sebelum ini. 

Beliau berkata, kebiasaannya warga Afrika banyak terbabit dalam aktiviti penipuan (scam) dan bukannya dalam aktiviti pelacuran. 

“Sepanjang tiga tahun saya menjadi Ketua Pengarah Imigresen, ini kali pertama warga Afrika dikesan terbabit dalam aktiviti pelacuran. 

“Siasatan awal mendapati, lima daripada mereka memiliki pas belajar yang sah, manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial,” katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan malam tadi. 

Katanya, mereka dikesan mula beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. 

Khairul berkata, mereka menawarkan bayaran antara RM500 hingga RM600 satu malam dan mampu meraih sehingga RM7,000 sebulan. 

Menurutnya, modus operandi sama seperti sindiket pelacuran lain iaitu menggunakan aplikasi WeChat bagi mencari pelanggan dan mereka hanya menawarkan khidmat seks kepada pelanggan tetap sahaja. 

“Bagi melanggan khidmat seks mereka, pelanggan terlebih dahulu perlu meyakinkan  mereka supaya tidak membocorkan aktiviti itu sebelum boleh bergelar pelanggan tetap dan eksklusif,” katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15/1 (c) Akta Imigresen 1963 dan ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan sebelum ditempatkan di depot tahanan untuk dihantar pulang ke negara asal. 

Jelasnya lagi, pihaknya percaya masih ada saki baki sindiket yang masih bebas dan siasatan lanjut akan diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya