SEREMBAN: Kerajaan digesa mengambil perhatian serius dalam menangani isu harga racun dan baja yang meningkat dua kali ganda sejak penghujung tahun lalu.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia berkata, kenaikan harga tersebut telah membelenggu dan memberi kesan terutama kepada pekebun kecil kelapa sawit sejak November tahun lalu.
Jelas beliau, kenaikan harga input pertanian terutamanya racun dan baja itu telah menyebabkan pekebun kecil terutamanya pekebun kecil sawit dan getah meminimumkan penggunaan kedua-dua input ini pada tanaman mereka.
“Pihak persatuan menerima pelbagai aduan berkenaan masalah kenaikan input pertanian daripada pekebun kecil sejak November 2021 yang sehingga kini belum lagi diselesaikan oleh pihak kerajaan.
“Pekebun kecil kelapa sawit yang kebiasaannya menggunakan 40 beg baja yang setiap satunya seberat 50 kilogram kini hanya menggunakan 10 beg baja sahaja bagi setiap pusingan pembajaan.
“Ia berikutan harganya yang meningkat daripada RM90 kepada RM180 satu beg. Ini memberikan kesan terhadap produktiviti buah terutamanya ketika musim melawas waktu ini”, katanya dalam kenyataan.
Bagi sektor getah pula, Aliasak berkata walaupun rata-rata pekebun kecil menerima di antara RM2.90 hingga RM3.20 sekilogram getah sekerap, mereka tidak dapat menarik nafas lega berikutan harga input pertanian yang turut meningkat.
“Kenaikan harga tanaman komoditi ini tidak dinikmati oleh pekebun kecil berikutan kos penyelenggaraan ladang juga turut meningkat. Ini merupakan satu diskriminasi kepada pekebun kecil,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga input pertanian sekiranya tidak ditangani pasti memberi kesan kepada produktiviti dan kualiti hasil tanaman yang dihasilkan negara.
“PKPKM menggesa kerajaan mengambil tindakan segera berkenaan kos kenaikan harga baja ini,” kata beliau lagi.