Pegawai tetap, kontrak KKM ditawar ikuti ijazah tinggi mulai 28 Januari ini - Utusan Malaysia

Pegawai tetap, kontrak KKM ditawar ikuti ijazah tinggi mulai 28 Januari ini

KKM menafikan dua buah hospital di ibu negara alami krisis kekurangan doktor. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pegawai kumpulan pengurusan dan profesional bukan gunasama Kementerian Kesihatan lantikan tetap serta pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak ditawar mengikuti pengajian peringkat Sarjana, Area of Special Interest (AOSI), Doktor Falsafah (PhD) dan kepakaran bermula 28 Januari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pegawai-pegawai yang memenuhi syarat ditetapkan boleh membuat permohonan menerusi sistem e-HLP KKM di http://ehlp.moh.gov.my.

Katanya, pemakluman awal itu dibuat bagi membolehkan pegawai yang berminat untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana, Area of Special Interest (AOSI), PhD dan kepakaran membuat persediaan sewajarnya menjelang pembukaan tawaran hujung bulan ini.

“Pembukaan tawaran kali ini adalah berbeza daripada tahun lepas yang mana pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak kini turut diberikan peluang mengikuti Program Latihan Kepakaran
(PLK) di peringkat Sarjana atau Parallel Pathway.

“Sebelum ini, hanya pegawai lantikan tetap sahaja diberikan peluang untuk mengikuti kursus
dalam perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Shafiq berkata, langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan pada 14 Julai 2021 supaya KKM bersama kementerian dan agensi pusat lain merangka pelan kerjaya komprehensif dan inklusif untuk pegawai perubatan serta pergigian lantikan kontrak.

“Bagi maksud ini, kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 meluluskan kepada KKM peruntukan kewangan sebanyak RM100 juta untuk manfaat sehingga 3,000 pegawai lantikan kontrak.

“Kami di KKM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi yang bersama-sama merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk memberi tawaran baharu kepada pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak di KKM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN