Pegawai Perhilitan Pahang bebas tuduhan buat tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Pegawai Perhilitan Pahang bebas tuduhan buat tuntutan palsu

ABU Zahrim Ismail melakukan sujud syukur di luar Mahkamah Rayuan 3, Putrajaya selepas dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara dan denda atas kesalahan membuat tuntutan palsu. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang daripada sabitan dan hukuman penjara empat tahun dan denda RM117,000 berkaitan tuntutan palsu, hampir sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Abu Zahrim Ismail, 48, selepas membenarkan rayuan akhirnya.

Sehubungan itu, mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada 27 Ogos 2018 dan Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengekalkannya pada 10 Mei 2019.

Panel itu turut memerintahkan denda RM117,000 yang telah dibayar oleh Abu Zahrim sebelum ini dan jaminan RM4,000 sementara menunggu pelupusan rayuan, dikembalikan kepadanya.

Selepas keputusan diumumkan, Abu Zahrim yang hadir di Istana Kehakiman ditemani isterinya, keluar daripada kamar mahkamah dan dilihat melakukan sujud syukur di sebelah pintu Mahkamah Rayuan 3 sebelum memeluk erat salah seorang peguam yang mewakilinya, Datuk Zamani Ibrahim.

Perayu kemudian meninggalkan pekarangan mahkamah bersama isterinya yang kelihatan mengesat air mata dengan tisu.

Hakim Vazeer Alam ketika membacakan keputusannya berkata, rayuan Abu Zahrim mempunyai merit atas alasan faktor kepuasan (gratification) bukan suatu elemen yang terkandung dalam pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Panel tersebut berpuas hati, Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mengguna pakai andaian di bawah Seksyen 50 Akta SPRM dan kesilapan itu memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Pada hemat beliau, keperluan agar perayu menjelaskan pertuduhan yang dihadapinya, adalah di luar peruntukan undang-undang kerana perayu hanya dikehendaki untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Dalam keputusan itu, Hakim Vazeer Alam turut menolak penghujahan pihak pendakwaan agar tertuduh dibicara semula kerana perintah itu hanya akan menyebabkan ketidakadilan dan memprejudiskan perayu.

Barisan peguam bela yang mengemukakan hujah hari ini terdiri terdiri daripada Hisyam Teh Poh Teik dan M.M. Athimulan manakala Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke mewakili pihak pendakwaan.

Terdahulu, pihak pembelaan menghujahkan, sabitan dan hukuman tidak dapat dikekalkan kerana wujud salah arah dari segi undang-undang ketika Mahkamah Sesyen mencapai keputusannya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah, hakim bicara telah mencapai dapatan selepas meneliti semua elemen yang terkandung dalam pertuduhan.

Abu Zahrim yang ketika itu merupakan pegawai Perhilitan Pahang didakwa membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu melibatkan pembekalan 28 unit beg sandang bersaiz 75 liter jenama Deuter dan 60 unit ‘drypack’ 30 liter.

Perayu didakwa membuat tuntutan palsu menerusi dokumen pesanan kerajaan dengan niat untuk memperdaya Ketua Pengarah Perhilitan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut pada November 2013.

Abu Zahrim didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya