Pecat wakil rakyat lompat parti, syarat Bersatu kembali bersama PH - Utusan Malaysia

Pecat wakil rakyat lompat parti, syarat Bersatu kembali bersama PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana mengkhianati Pakatan Harapan (PH) sebelum berhasrat menjalin kerjasama dengan PH dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pada masa sama Bersatu juga harus memecat semua wakil rakyat daripada PH dan UMNO yang melompat ke parti itu sebelum ini.

Itu dua syarat yang dicadangkan oleh Muhamad Arafat jika Bersatu ingin bekerjasama dengan PH bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam PRN tersebut.

“Merujuk cadangan pimpinan Bersatu untuk kerjasama dengan PH pada PRN Johor, Bersatu telah khianat PH dan mandat rakyat atas alasan ‘penyatuan ummah’ tetapi sekarang terbukti alasan itu hanya untuk kepentingan diri demi kuasa dan kedudukan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Arafat, tindakan pengkhianatan Bersatu telah mengkucar- kacirkan politik negara serta menyusahkan ummah dan sekarang Bersatu pula dikhianati rakan ‘penyatuan ummah’ itu sendiri sehingga parti tersebut menjadi ‘yatim piatu politik ‘ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, akibat tindakan ‘penyatuan ummah’  itu, negara hilang kestabilan politik,  kehilangan pelabur , rakyat pula kehilangan pekerjaan dan bertambah miskin, peniaga gulung tikar dan indeks rasuah jatuh.

Menurut Muhamad Arafat lagi, kini kerajaan terpaksa pula membazirkan wang rakyat dalam ratusan juta ringgit disebabkan mahu mengadakan PRN sehingga berterusan menyusahkan rakyat.

Sebelum ini, terdapat cadangan agar Bersatu kembali bekerjasama dengan PH, bagi melawan UMNO dalam PRN Johor.

Kerjasama itu melibatkan parti pembangkang lain seperti Pejuang, Muda dan Warisan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya