JOHOR BAHRU: Pas dilihat seolah-olah mahu menamatkan kerjasama bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) apabila berterusan memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun berkata, keputusan Pas itu tidak memeranjatkan kerana mereka juga melakukan perkara sama ketika PRN Melaka.
“Kelihatan seperti mereka yang ingin memuktamadkan MN, dalam lain kata bukan kita yang mahu tetapi sebelah mereka.
“Sudah kita faham mereka mahu berlawan seperti di PRN Melaka. Sebelum ini kita taklah kata kerjasama MN sudah muktamad, tapi apabila semalam Pas bersama Bersatu, saya tidak nampak ruang apa-apalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Parti Makkal Sakti Malaysia yang diadakan di Hotel Granada, di sini hari ini.
Semalam, muzakarah Bersatu bersama Pas membuat ketetapan bahawa parti itu akan bersama PN dalam menghadapi PRN Johor sekali gus menolak bekerjasama dengan UMNO.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, walaupun demikian Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah kerana telah bersedia untuk bertanding secara solo dalam PRN Johor akan datang.
“Kita tidak mahu berasa terlalu selesa atau terlalu yakin, tetapi sebaliknya kita perlu terus berusaha dengan gigih untuk memastikan segala perancangan dan strategi dilaksanakan sebaik mungkin.
“Dalam masa sama, kita perlu terus mendekati golongan pengundi di negeri ini,” jelasnya.