Pas konsisten agenda penyatuan ummah, belum tutup pintu rundingan

PRN Johor: Pas konsisten agenda penyatuan ummah, belum tutup pintu rundingan

pas
KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas terus konsisten dengan agenda penyatuan ummah dan tidak pernah menutup pintu rundingan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menegaskan bahawa Pas belum melakukan apa-apa rundingan politik dengan mana-mana parti politik Melayu untuk menghadapi pilihan raya negeri itu.

Katanya, ini kerana sehingga saat ini, Pas masih lagi meneliti dengan terperinci dan menyeluruh laporan yang diberikan oleh Pas Johor.

Jelasnya, Pas juga sedang mengumpul data dan menganalisa landskap politik di Johor berdasarkan kepada kajian-kajian empirikal oleh para pengkaji politik yang diiktiraf.

“Mana-mana dakwaan liar yang menyatakan bahawa Pas telah menolak tawaran untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak dalam PRN Johor ini adalah jelas sekali sebuah penipuan dan persepsi jahat yang tidak bermoral serta mencemarkan wadah demokrasi dalam negara kita khususnya dalam menghadapi PRN negeri Johor kali ini.

“Pas menegaskan sekali lagi bahawa Pas sedang memberikan penumpuan kepada pemerkasaan jentera dalaman parti bagi tujuan PRN Johor dan juga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka bakal berlaku lebih awal.

“Pas terus konsisten berusaha ke arah membentuk satu gagasan besar politik penyatuan ummah bersama dengan mereka yang bukan Islam serta tidak ekstrim terhadap Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, agenda Pas adalah menyatukan umat Islam bersama dengan bangsa lain yang telah menjadi tonggak serta paksi kekuatan Malaysia.

Justeru, katanya, Pas tegas dengan halatuju Islam menyatukan ummah seperti yang digagaskan dalam Ucapan Dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam muktamar tahun lalu.

“Pada masa yang sama, Pas menolak mana-mana usaha keji yang cuba menimbulkan api perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu dan terus menimbulkan syak wasangka sesama kita.

“Sudah tiba masanya, generasi kita pada hari ini berdiri teguh dengan prinsip Islam yang menjadi landasan kepada kunci kekuatan penyatuan ini.

“Berkerjasama ke arah jalan kebaikan dan kesejahteraan, bukannya bekerjasama ke atas jalan keburukan dan kemusnahan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya