KAMPAR: Papan tanda maklumat mengenai Pertempuran Kampar yang dipasang di tapak bersejarah Perang Dunia Kedua di Green Ridge di sini yang dipasang dua tahun lalu didapati telah hilang, dipercayai dicuri.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad berkata, papan tanda itu yang dipasang pihaknya didapati telah hilang dalam tempoh minggu ini.
Menurutnya, papan tanda itu merupakan inisiatif pihaknya untuk memulihara kawasan bersejarah itu yang dipasang di tepi jalan utama Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.
“Kejadian ini amat mendukacitakan, masih ada pihak tidak bertanggungjawab ketika kami berjuang memulihara tinggalan sejarah negara,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mengambil inisiatif memasang papan tanda itu disebabkan banyak pihak yang melawat ke tapak itu bertanyakan tentang sejarah peperangan tersebut.
Katanya, papan tanda yang dipasang itu lengkap dengan fakta sejarah Pertempuran Kampar, peta dan gambar-gambar lama semasa Perang Dunia Kedua.
“Susulan kejadian itu, satu laporan polis akan dibuat, kejadian ini serius dan tidak boleh dipandang sebelah mata,” katanya.
Sementara itu Shaharom berkata, sejak 10 tahun lalu, pihaknya memohon supaya pihak berwajib segera menggazetkan tapak pertempuran itu sebagai tapak warisan dan pelancongan.
Menurutnya, ini kerana pihaknya khuatir tapak yang memiliki nilai sejarah yang tinggi itu akan musnah sekiranya tidak digazetkan dengan segera.
“Sebab itu kami dirikan papan tanda supaya orang ramai termasuk penduduk sekitar tahu di sini ada tapak tinggalan sejarah yang bernilai tinggi,” katanya.
Untuk rekod, tapak pertempuran seluas 6.47 hektar itu merupakan bukti pertempuran hebat antara 1,500 tentera British yang turut disertai tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun semasa Perak Dunia Kedua. – UTUSAN ONLINE