Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam dijangka siap sebelum 31 Januari 2025 - Utusan Malaysia

Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam dijangka siap sebelum 31 Januari 2025

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) ketika melawat tapak projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam, di lorong Bukit Gambir, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam sepanjang enam kilometer yang merupakan salah satu komponen Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dijangka siap sebelum 31 Januari 2025.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jajaran Pakej 2 itu terbahagi kepada enam seksyen dan pada masa ini kadar pencapaian pelaksanaan projek itu adalah sebanyak lapan peratus berbanding enam peratus yang disasarkan.

“Aktiviti pembinaan telah dimulakan di Seksyen 1 (Lebuhraya Thean Teik) dengan pelaksanaan kerja-kerja cerucuk bagi jejambat (ramp 1) yang akan bersambung ke jajaran utama Pakej 2.

“Seterusnya kerja-kerja pengalihan utiliti dan pelebaran jalan akan dilaksanakan di kawasan Seksyen 1,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek Pakej 2 Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam, di sini hari ini.

Jajaran Pakej 2 merupakan salah satu komponen Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan kos sebanyak RM851 juta.

Di bawah Pakej 2 tersebut terdapat tiga persimpangan iaitu di Lebuhraya Thean Teik, Jalan Sultan Azlan Shah dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan merupakan lebuh raya bebas tol. 

Menurut Kon Yeow, pelaksanaan projek Pakej 2 itu melibatkan pengambilan balik tanah milik persendirian, pelepasan tanah milik Kerajaan Pusat dan kebenaran kemasukan ke dalam tanah milik kerajaan negeri.

“Sehingga kini, sebanyak dua seksyen jajaran Pakej 2 telah selesai pengambilan balik tanah bagi membolehkan pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembinaan di tapak. Proses pengambilan tanah milik persendirian dan pelepasan tanah milik kerajaan Pusat bagi empat seksyen yang selebihnya sedang dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, pihaknya yakin projek Pakej 2 itu akan berjalan mengikut masa yang telah ditetapkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi dilaksanakan seperti sebelum ini.

“Setelah projek ini disiapkan, jajaran Pakej 2 yang merupakan jalan pintasan bebas tol akan memberikan kelebihan kepada orang awam dari segi pengurangan masa perjalanan iaitu dianggarkan dari 40 minit kepada lima minit.

“Selain itu, projek ini juga dapat menjana peluang pekerjaan semasa dan selepas fasa pembinaan serta kaedah reka bentuk yang lebih mesra alam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya