PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan program pemberian Kad Kesihatan Warga Emas Pahang atau Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kasih) yang dilancarkan semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelancaran julung kali itu memberi manfaat kepada 18,000 penerima.
Katanya, kad dengan nilai RM500 itu boleh digunakan bagi rawatan prosedur am dan rawatan awal di klinik swasta seluruh negeri yang dilantik sebagai panel di bawah program tersebut.
“Seramai 9,009 penerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang bakal menerima kad itu untuk fasa pertama.
“Senarai 8,991 penerima selebihnya yang memenuhi syarat dan berkelayakan akan dimasukkan dalam senarai fasa kedua yang dijangka menerima manfaat itu bermula 1 Mac ini,” katanya selepas melancarkan kad kesihatan itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahamd Shah, Kuala Rompin, Rompin.
Pada majlis itu, seramai 100 penerima dari daerah Rompin menerima kad masing-masing.
Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Katanya lagi, pemberian kad kesihatan itu juga sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan asas rakyat daripada segenap usia yang menjadi antara asas Belanjawan Pahang 2022. – UTUSAN ONLINE
WAN Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang atau Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kasih) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahamd Shah di Kuala Rompin, Pahang semalam.