Padah jual walkie-talkie, peniaga didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Padah jual walkie-talkie, peniaga didenda RM10,000

SENG Hok Siong (kanan) diperintahkan membayar denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara menjual sembilan unit walkie-talkie, seorang peniaga diperintahkan membayar denda RM10,000 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Seng Hok Siong, 43, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu sembilan unit walkie-talkie jenama Baofeng pelbagai model. 

Tindakan itu dilakukan tertuduh pada 4 Julai 2020 dan 5 Mei 2021 di Plaza Melaka Sentral dalam daerah Melaka Tengah. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 16 (1) (b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16 (3) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan mempunyai lima anak dengan empat daripadanya masih bersekolah, selain pendapatan terjejas akibat Covid-19. 

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Nazrul Nizam Mohd. Zameri bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat. 

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan atau penjara dua bulan jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya