PONTIAN: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pontian menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah masa terbaik bagi pucuk pimpinan parti memilih calon-calon golongan muda dan muka baharu.
Ketuanya, Muhd. Helmi Buang berkata, landskap politik di Malaysia akan melalui perubahan besar apabila-kira 700,000 orang pengundi 18 tahun terlibat secara langsung dalam PRN Johor kali ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, golongan pengundi itu dijangka tidak melihat parti yang bertanding tetapi keupayaan calon yang mampu membawa aspirasi mereka sebagai orang muda serta dasar-dasar yang akan dibawa nanti.
Menurutnya, jika di PRN Johor, Barisan Nasional (BN) masih melihat kepada soal kuota pemimpin atau ‘warlord’ atau ingin menjaga hati, gabungan itu dikhuatiri akan hilang populariti berbanding parti-parti lain.
“Pemuda menegaskan mana-mana calon yang telah melebihi tiga penggal serta tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) tidak perlu dicalonkan dan diminta mengundurkan diri dengan hormat.
“Masih ramai lagi golongan muda yang boleh diketengahkan oleh BN dan UMNO sebagai calon dalam PRN Johor dan tidak terlalu bergantung kepada calon-calon yang boleh mendatangkan beban kepada parti,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan BN belum lagi memutuskan sebarang kuota atau peratus bagi memilih calon-calon muda atau baharu untuk diketengahkan parti.
Menurut Hasni, senarai calon-calon belum dikenal pasti dan belum pun dimuktamadkan kerana masih ada masa untuk mereka melakukan pemilihan tersebut.
Katanya, BN Johor tidak boleh menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak sebagai model bagi memilih calon memandangkan banyak perkara perlu dipertimbangkan sejajar dengan kepentingan negeri ini.
Mengulas lanjut kata Muhd. Helmi, Pemuda UMNO berharap mereka diberikan peluang untuk menjadi antara watak penting bagi mencorakkan masa depan negara sekiranya diberikan peluang bertanding pada PRN itu.
“Daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh UMNO Johor pada PRN itu diharapkan akan tampil muka baharu dan gabungan golongan muda yang bertanding pada kali ini,” jelasnya. – UTUSAN